SHAH ALAM, 5 JULAI: Dua wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh surau di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, Pasir Puteh pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.34 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an dan 50-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan yang menyebabkan mangsa tersepit.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Honda CR-V yang dinaiki enam warga Indonesia termasuk seorang lelaki.
"Dua wanita maut di lokasi manakala empat lagi cedera. Kesemua mangsa adalah bersaudara," katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.







