Penternak ayam diingat patuhi kebersihan, risiko ladang ditutup

20 Jun 2026, 9:07 AM
Penternak ayam diingat patuhi kebersihan, risiko ladang ditutup
Penternak ayam diingat patuhi kebersihan, risiko ladang ditutup
Penternak ayam diingat patuhi kebersihan, risiko ladang ditutup
Penternak ayam diingat patuhi kebersihan, risiko ladang ditutup

KUALA LANGAT, 20 JUN: Penternak ayam di daerah ini diberi amaran supaya memastikan tahap kebersihan ladang sentiasa dipatuhi atau berdepan risiko tindakan penutupan sekiranya gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata kegagalan menguruskan najis ternakan dengan baik menjadi antara punca utama masalah gangguan lalat yang membelenggu penduduk di beberapa kawasan sekitar Kuala Langat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat berkata penduduk di sekitar Tanjong Sepat, Morib dan Batu Laut telah lama berdepan masalah berkenaan sehingga menjejaskan kehidupan harian mereka.

Menurutnya, Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah mengambil pelbagai langkah termasuk turun padang, memberi penerangan, nasihat serta melaksanakan kawalan bagi menangani isu tersebut.

“Kerajaan Negeri dan MPKL sudah turun padang, memberi penerangan, nasihat serta pelbagai langkah kawalan. Sekarang yang tinggal hanyalah penguatkuasaan.

"Jika masih gagal mematuhi syarat kebersihan dan menyebabkan gangguan kepada masyarakat, tindakan tegas termasuk penutupan ladang boleh diambil sebagaimana yang berlaku terhadap ladang babi sebelum ini," katanya ketika berucap pada Kempen Kawalan Infestasi Lalat di Medan Selera MPKL Pantai Batu Laut anjuran MPKL.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah ditemui media selepas Kempen Kawalan Infestasi Lalat di Medan Selera MPKL Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 20 Jun 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Borhan, isu lalat terus menjadi antara aduan utama yang dibangkitkan penduduk Kuala Langat dan turut mendapat perhatian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, masalah itu bukan sahaja menjejaskan keselesaan penduduk, malah memberi kesan kepada peniaga kecil, sektor pelancongan dan kualiti hidup masyarakat setempat.

"Di kawasan seperti Ladang Batu, Batu Laut dan Kundang, gangguan lalat sangat serius sehingga menjejaskan urusan perniagaan. Ada pelanggan takut membeli makanan kerana terlalu banyak lalat.

"Malah, ada keluarga yang mengadu tetamu enggan datang ke rumah ketika musim perayaan kerana gangguan lalat yang melampau," katanya.

Justeru Borhan memberi amaran supaya pengusaha ternakan tidak hanya mengejar keuntungan sebaliknya bertanggungjawab menjaga kebersihan komuniti sekitar.

"Kita tidak menghalang aktiviti ekonomi atau industri ternakan kerana ia menyediakan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi setempat.

"Tetapi pengusaha perlu bertanggungjawab terhadap kesan operasi mereka kepada penduduk. Jangan sampai isu ini menjadi lebih besar dan tular sehingga kerajaan pula dipersalahkan sedangkan pelbagai langkah awal sudah diambil," katanya.

Beliau turut mengingatkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap ladang yang beroperasi tanpa lesen atau gagal memperbaharui permit kerana tidak memenuhi syarat kebersihan.

"Jangan sampai isu ini menjadi seperti industri penternakan babi sebelum ini. Kerajaan sudah memberi peringatan dan peluang untuk melakukan penambahbaikan.

"Jika masih berdegil dan melanggar peraturan, tindakan sewajarnya akan diambil demi menjaga kepentingan awam," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.