Bomba: Pemutihan tahfiz Selangor cegah tragedi kebakaran berulang

20 Mei 2026, 5:00 AM
Bomba: Pemutihan tahfiz Selangor cegah tragedi kebakaran berulang
Bomba: Pemutihan tahfiz Selangor cegah tragedi kebakaran berulang

SHAH ALAM, 18 MEI: Proses pemutihan sekolah tahfiz yang dilaksanakan pentadbiran Selangor selaras garis panduan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mencegah kejadian kebakaran.

Penolong Pengarah Bomba Bahagian Keselamatan Kebakaran berkata pendekatan itu bukan sahaja menjamin keselamatan warga sekolah khususnya pelajar, malah mengurangkan risiko insiden yang boleh meragut nyawa.

Menurut Ts Razali Mohd Nasir, tragedi di sebuah pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat pada 2017 yang mengorbankan 23 nyawa mendorong JBPM memperketat penguatkuasaan keselamatan bangunan.

“Kita juga tidak mahu kejadian di Yan, Kedah yang mengorbankan hampir 30 nyawa berulang. Sebab itu JBPM keluarkan garis panduan berkaitan tempat penginapan tahfiz, keperluan susun atur bilik serta laluan kecemasan.

“Ini disebabkan ada pengusaha pusat tahfiz dan pondok menggunakan bangunan tidak sesuai untuk beroperasi. Contohnya, gunakan bangunan rumah yang diubah suai, disambung-sambung. Keadaan ini berbahaya,” katanya kepada Media Selangor.

Pada awal pagi 14 September 2017, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar, menyebabkan 21 pelajar dan dua guru maut selepas terperangkap dalam kebakaran di bangunan sementara itu.

Ts Razali menambah proses pemutihan yang turut memerlukan kelulusan JBPM penting kerana melibatkan faktor fizikal bangunan serta persekitaran, termasuk laluan menyelamat serta akses sumber air.

Beliau menjelaskan penempatan pusat tahfiz di kawasan tidak sesuai seperti tiada laluan kecemasan atau jauh dari pili bomba berdepan risiko kebakaran yang boleh meragut nyawa.

“Begitu juga keperluan keselamatan di bangunan sekolah atau asrama. Contohnya, jika ia bertingkat, ada keperluan untuk memiliki tangga dan luluan selamat bagi pelajar menyelamatkan diri.

“Dalam kes kebakaran di Keramat, antara punca menyebabkan lebih 20 individu meninggal dunia adalah faktor fizikal bangunan. Sebab itu pemutihan dilaksanakan Kerajaan Selangor ini penting supaya pelajar dijamin tinggal dan belajar di kawasan selamat,” katanya.

Sehingga 24 Disember tahun lalu, proses itu hampir selesai dengan 606 sekolah tahfiz di seluruh Selangor berjaya diputihkan, sekali gus mencapai tahap pelaksanaan sebanyak 96 peratus.

Pada Januari, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor memaklumkan langkah itu merangkumi semua kategori sekolah agama termasuk tahfiz, swasta dan institusi seliaan pihak berkuasa agama negeri.

Jelas Dato' Salehuddin Saidin, aspek utama yang dinilai meliputi status pendaftaran, keselamatan, kesihatan dan zon operasi sekolah bagi memastikan perjalanan institusi sah dan teratur.

Kebakaran terbesar berlaku pada September 1989, menyaksikan lapan asrama Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya di Yan, Kedah terbakar dan meragut 27 nyawa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.