Capai merdeka selepas ramai pahlawan gugur

31 Ogos 2026, 4:00 AM
Capai merdeka selepas ramai pahlawan gugur

SHAH ALAM, 31 OGOS: Naratif kemerdekaan tanah air hanya diperoleh melalui rundingan semata-mata tidak tepat sebaliknya perjuangan menghalau penjajah telah mengorbankan ramai pahlawan tempatan.

Felo Perunding Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia, Dato’ Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad menegaskan penentangan secara mengangkat senjata berlangsung jauh sebelum kemerdekaan pada tahun 1957.

Beliau menjelaskan catatan awal menunjukkan Laksamana Hang Nadim menyerang Portugis di Melaka, diikuti siri serangan kerajaan Johor terhadap kuasa Portugis pada abad berikutnya.

“Tahun 1957 itu bukan permulaan perjuangan. Kita mula berjuang apabila sudah ada anasir luar datang menggugat kita,” katanya selepas Wacana Pemikiran Sejarah: Memerdekakan Minda daripada Pensejarahan Kolonial di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini pada 16 Ogos.

Dr Abdul Mua’ti berkata rentetan penentangan itu membuktikan 1957 bukan permulaan perjuangan kemerdekaan sebaliknya titik terakhir selepas pertarungan panjang menghalau kuasa asing.

Penceramah Dato' Dr Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad berucap ketika program Wacana Pemikiran Sejarah Memerdekakan Minda Daripada Pensejarahan Kolonikal di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam pada 16 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau memberitahu perjuangan menentang Portugis bermula selepas kejatuhan Melaka pada 1511 diikuti banyak pertempuran dengan kuasa asing lain termasuk Belanda dan British.

Beliau menamakan penentangan Johor, Perak dan Kerajaan Jepara di Jawa menyerang dan mengepung Melaka yang dikuasai Portugis selama tiga bulan sejak 1551 diikuti serangan pada 1586.

Katanya, banyak pertempuran lain berlaku sepanjang tempoh itu menunjukkan usaha membebaskan tanah air bukan berlaku secara mudah atau hanya melalui rundingan menjelang kemerdekaan.

“Jadi tahun 1957 apabila ditandatangani, tandatangani kemerdekaan itu hanyalah titik terakhir hasil daripada rentetan perjuangan menghalau penjajah yang begitu panjang,” katanya.

Dr Abdul Mua’ti menamakan sebahagian pahlawan tempatan yang gugur di medan perang atau dihukum mati antaranya Dato’ Maharaja Lela, Rosli Dhobi dan Dato’ Sagor, Tok Janggut dan Mat Salleh.

Justeru, katanya, naratif memperoleh kemerdekaan dengan mudah perlu dinilai semula berikutan penyelesaian di meja rundingan hanya fasa akhir selepas perjuangan dalam tempoh panjang.

“Kalau dikatakan Malaysia merdeka dengan mudah sebab kita mendapat di meja rundingan, saya rasa semua negara pun akhirnya menandatangani perjanjian kemerdekaan di meja rundingan,” katanya.

Dalam wacana itu, Prof Madya Dr Azmi Ariffin dari Jabatan Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di Universiti Sains Malaysia menegaskan perjuangan kemerdekaan perlu difahami dalam konteks sejarah panjang dan mengambil kira pengorbanan golongan nasionalis.

Penceramah Prof. Madya Dr. Azmi Ariffin bercakap kepada media selepas Wacana Pemikiran Sejarah Memerdekakan Minda Daripada Pensejarahan Kolonikal di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam pada 16 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau mengingatkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dicapai selepas banyak darah tumpah dan air mata mengalir, justeru sambutan tidak harus tertumpu kepada kemeriahan tanpa memahami makna sebenar.

Katanya, sarjana muda juga perlu memanfaatkan sumber sejarah baharu bagi menilai semula tafsiran sedia ada supaya sejarah kemerdekaan disampaikan lebih tepat dan tidak berpihak kepada perspektif penjajah.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.