Jati diri tangkis pengaruh pemikiran penjajah

31 Ogos 2026, 2:09 AM
Jati diri tangkis pengaruh pemikiran penjajah
Jati diri tangkis pengaruh pemikiran penjajah

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kemerdekaan belum memadai jika masyarakat di negara ini masih terikat dengan corak pemikiran dan legasi penjajahan yang mempengaruhi cara menilai diri, budaya dan kemajuan.

Felo Perunding Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad berkata kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila masyarakat membebaskan pemikiran daripada pengaruh warisan penjajah.

“Kalau kita masih lagi meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh penjajah tanpa ada penambahbaikan kepada institusi dan juga sistem, maka kita tak boleh katakan bahawa kita sudah merdeka sebenarnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas Wacana Pemikiran Sejarah: Memerdekakan Minda daripada Pensejarahan Kolonial di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini pada 16 Ogos.

Program anjuran Kluster Pemikiran Islam, Yayasan Sahabat Bestari itu menghimpunkan peminat dan penggiat sejarah dari pelbagai negeri seluruh negara.

Dr Abdul Mua’ti berkata masyarakat perlu menilai semula perkara yang dibawa Barat atau bekas penjajah tanpa menganggap semuanya membawa nilai baik dan sesuai untuk diterap ke dalam kehidupan tempatan.

Namun, beliau menjelaskan perkara yang mempunyai manfaat seperti teknologi boleh diterima tetapi ia juga perlu melalui proses penambahbaikan supaya bersesuaian dengan keperluan masyarakat.

“Maknanya kalau kita hendak merdeka secara hakiki, maka kita kena bebaskan diri kita daripada menjadi pengguna semata-mata kepada pencipta budaya,” katanya lagi.

Menurut Dr Abdul Muati, usaha untuk membebaskan pemikiran memerlukan kebangkitan rohani dan nilai intelektual bagi membina masyarakat yang memiliki keyakinan terhadap identiti dan keupayaan sendiri.

Katanya, sikap terlalu bergantung kepada ciptaan pihak lain juga perlu diubah kerana masyarakat yang menjadi pengguna semata-mata tidak benar-benar memiliki kebebasan dalam menentukan hala tuju.

Terdahulu, beliau dalam wacana tersebut menjelaskan penjajahan boleh berlaku dengan mengabur sejarah, memusnahkan bukti serta memutuskan hubungan masyarakat dengan leluhur hingga asal-usul dan warisan tidak lagi difahami.

Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya mengenali sejarah, tamadun dan budaya sendiri bagi membina jati diri sebagai perisai dari pengaruh luar yang tidak sesuai dengan nilai tempatan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.