Pasukan SMART akan ke Nepal, kesan dan bawa pulang rakyat Malaysia

30 Ogos 2026, 6:11 AM
Pasukan SMART akan ke Nepal, kesan dan bawa pulang rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 30 OGOS: Malaysia akan menghantar pasukan mencari dan menyelamat bagi membantu operasi di Nepal susulan bencana banjir lumpur di sempadan negara itu dengan China pada Rabu lalu, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN), dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dengan Kerajaan Nepal bagi membolehkan pasukan ini digerakkan sesegera mungkin. 

"Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Anwar turut memaklumkan bahawa AS$1 juta akan disalurkan kepada Nepal bagi membantu mangsa terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana. 

Wisma Putra semalam mengesahkan terdapat 55 warga Malaysia yang berada di Nepal masih gagal dihubungi ketika banjir kilat dahsyat dan tanah runtuh berlaku di Daerah Rasuwa, Nepal. 

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan Pelabuhan Gyirong, China pula mengesahkan tiga rakyat Malaysia adalah antara 261 warga asing dari 23 buah negara yang dikenal pasti belum dapat dikesan susulan tanah runtuh yang berlaku di sempadan China-Nepal. 

Setakat semalam, Nepal mengesahkan angka kematian mencecah 623 orang dengan usaha mencari dan menyelamat masih terus giat dijalankan. 

Bencana banjir kilat dan tanah runtuh di sempadan Nepal dan China itu dilaporkan berpunca daripada runtuhan glasier di kawasan pergunungan Nepal yang mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh dan gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter, menurut US Geological Survey (USGS). 

Limpahan banjir kilat, selut dan lumpur bergerak lebih 100km dari Trishuli dan Sungai Bhote Khosti merentasi bandar dan pekan tarikan pelancong di sepanjang sempadan Nepal-China. Setakat ini, lebih 2,400 orang masih gagal dikesan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.