SHAH ALAM, 29 OGOS: Keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di sempadan Nepal-Tibet akan diberikan taklimat oleh Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi berkaitan, esok.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pertemuan itu akan membincangkan perkembangan terkini usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih dikategorikan sebagai belum dapat dikesan, lapor Berita Harian.
"Sekiranya keluarga berkenaan mahu ke Nepal, kami akan cuba menguruskan perjalanan mereka, namun akses ke lokasi kejadian atau 'ground zero' adalah sukar berikutan masalah perhubungan dan jambatan yang terputus," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Taman Kelab Tuanku, Mambau, di sini, lewat petang tadi.
Beliau berkata Wisma Putra kini mengoperasikan bilik gerakan selama 24 jam bagi memantau perkembangan bencana itu, selain sentiasa berhubung dengan Kementerian Luar Nepal, MKN dan agensi berkaitan.
Mohamad berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut melaporkan perkembangan kepada beliau setiap hari, manakala kedutaan berkenaan sudah menerima tambahan staf bagi membantu menguruskan urusan rakyat Malaysia yang terjejas.
"Banyak juga sekarang ini yang sebelum ini dikategorikan hilang tetapi sudah dapat dihubungi. Pihak China kata ada beberapa orang di sebelah sana yang sudah dapat dihubungi, namun belum dipastikan kewarganegaraan mana," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata Nepal tidak memerlukan penghantaran pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari negara lain berdasarkan pengalaman negara itu menguruskan pasukan SAR ketika gempa bumi di Kathmandu beberapa tahun lalu.
"Sebaliknya, Nepal meminta negara-negara yang mahu membantu supaya menyalurkan sumbangan kewangan bagi menyokong usaha bantuan.
"Memang mereka memerlukan sumbangan kewangan, bahkan Bank Dunia pun sudah mengeluarkan kenyataan untuk membantu Nepal," katanya.
Mohamad berkata wakil pejabatnya dan pegawai bilik operasi turut akan hadir dalam pertemuan media bersama NGO di Kuala Lumpur, esok, bagi menjawab sebarang pertanyaan serta memberikan penerangan lanjut mengenai perkembangan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.







