Banjir di Nepal: Wakil waris dakwa maklumat peribadi mangsa dijual, cetus keresahan

29 Ogos 2026, 12:46 PM
Banjir di Nepal: Wakil waris dakwa maklumat peribadi mangsa dijual, cetus keresahan

GOMBAK, 29 OGOS: Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa mengambil kesempatan terhadap tragedi banjir kilat Nepal-Tibet dengan menyebarkan maklumat palsu berkaitan mangsa.

Wakil keluarga mangsa, Ts Dr Manivannan Rethinam berkata pihaknya menerima maklumat daripada ejen di Nepal bahawa terdapat pihak didakwa cuba mendapatkan maklumat peribadi mangsa untuk dijual kepada media selain menyebarkan maklumat tidak tepat kepada keluarga.

Katanya, pihak berkenaan juga didakwa menggunakan gambar mangsa yang tersebar untuk disunting, termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), sebelum menyebarkan maklumat palsu.

"Mereka cuba mendapatkan maklumat peribadi dan menjualnya kepada media serta menyebarkan maklumat tidak tepat kepada ahli keluarga sehingga mempermainkan perasaan mereka.

"Jadi, perlu berhati-hati apabila berkongsi pasport atau maklumat kerana gambar dan nombor pasport kini sudah tersebar di media sosial," katanya pada sidang media MASFIH di sini, hari ini.

Menurut Manivannan, antara maklumat tidak sahih yang dikesan ialah dakwaan kononnya 19 rakyat Malaysia telah ditemukan meninggal dunia.

"Pagi ini juga terdapat maklumat palsu mengatakan 19 rakyat Malaysia telah ditemukan meninggal dunia. Kami membuat pengesahan dengan ejen di Nepal dan dimaklumkan berita itu palsu," katanya.

Beliau berkata MASFIH mendapatkan bantuan Pristine Himalayan Trackers di Nepal bagi menyemak kesahihan maklumat yang diterima berhubung perkembangan di lokasi bencana.

Katanya, ejen berkenaan mempunyai hubungan dengan pihak berkaitan di lapangan termasuk pusat arahan dan pihak tentera, sekali gus membolehkan maklumat disemak dengan lebih pantas.

"Apabila kami menerima sesuatu berita, kami akan bertanya kepada ejen sama ada maklumat itu benar dan mereka boleh membuat semakan dalam beberapa minit.

"Itu antara usaha yang kami lakukan sendiri, tetapi kami merasakan kerajaan boleh membantu kami dengan lebih baik," katanya.

Sehubungan itu, MASFIH berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan, terutama membabitkan identiti dan status mangsa, kerana ia boleh menambahkan tekanan serta keresahan keluarga yang masih menunggu perkembangan mengenai orang tersayang.

Pada 26 Ogos lalu, runtuhan glasier berhampiran sempadan Nepal-Tibet mencetuskan bencana banjir kilat rentas sempadan yang melanda Gyirong di Tibet dan Rasuwa di Nepal, manakala gangguan banjir di Darchen dipercayai merupakan kejadian berasingan. Nepal melaporkan angka korban mencecah 616 orang.

Pihak berkuasa pengurusan bencana sebelum itu mengesahkan seramai 1,924 orang, termasuk 517 warga asing, masih gagal dihubungi di Nepal

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.