GOMBAK, 29 OGOS: Kumpulan sokongan keluarga mangsa banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet, Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) menggesa Wisma Putra menyediakan kemas kini berkala mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) 49 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana itu.
Wakil MASFIH, Ts Dr. Manivannan Rethinam turut meminta seorang pegawai perhubungan khas dilantik bagi menyalurkan maklumat rasmi secara terus dan konsisten kepada waris.
Beliau berkata, desakan itu dibuat selepas lebih 72 jam berlalu sejak bencana berkenaan, namun nasib 49 rakyat Malaysia terbabit masih belum diketahui.
"Kami bukan mencari pertemuan. Kami mencari jawapan, koordinasi dan tindakan Walaupun tiada perkembangan baharu, keluarga berhak mengetahui usaha pencarian masih diteruskan dan orang tersayang mereka tidak dilupakan," katanya pada sidang akhbar MASFIH di sini, hari ini.
Menurutnya, kemas kini perlu merangkumi status mangsa, kawasan pencarian, perkembangan operasi SAR serta jumlah individu yang ditemui atau diselamatkan berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa Nepal dan China.
Katanya, pelantikan pegawai perhubungan penting bagi mewujudkan satu saluran komunikasi antara Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Beijing dengan wakil keluarga, sekali gus mengurangkan tekanan waris yang perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai agensi secara berasingan.
Dalam pada itu, MASFIH membangkitkan kekeliruan berhubung senarai rakyat Malaysia yang hilang apabila sembilan individu daripada satu kumpulan perjalanan didakwa tidak tersenarai dalam rekod tertentu pihak berkuasa pelancongan Nepal.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan mahu senarai mangsa disemak silang dan diselaraskan antara Wisma Putra, kedutaan Malaysia serta pihak berkuasa Nepal dan China bagi memastikan maklumat mengenai individu yang hilang adalah tepat.
"Kami sudah menghantar senarai bersama nama penumpang, nombor pasport dan salinan pasport mereka.
"Sebab itu kami meminta seorang pegawai perhubungan untuk mengesahkan senarai ini supaya senarai sama dapat diselaraskan dengan Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan pihak Nepal," katanya.
MASFIH turut menjelaskan berdasarkan maklumat yang diterima keluarga setakat ini, belum ada seorang pun daripada 49 rakyat Malaysia dalam senarai mereka disahkan ditemui atau diselamatkan.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan mengenai 36 rakyat Malaysia yang selamat, yang menurut MASFIH merupakan kumpulan berbeza dan dipercayai tidak berada di kawasan utama yang terjejas akibat banjir kilat berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan tiada rakyat Malaysia dalam senarai 771 orang yang diselamatkan dalam operasi SAR di Rasuwa, Nepal, setakat Jumaat.
Menurut Wisma Putra, 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi, manakala dua lagi berjaya dihubungi. Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya turut beroperasi 24 jam sejak 27 Ogos bagi menyelaras maklumat dan membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka.
Kementerian turut memaklumkan 72 rakyat Malaysia di Darchen, Tibet, China, disahkan selamat dan berada dalam keadaan sihat.
Pada masa sama, MASFIH menggesa Kerajaan Malaysia menggunakan semua saluran diplomatik dengan Nepal dan China bagi memperluas usaha SAR di kawasan sempadan Nepal-Tibet berdasarkan lokasi terakhir mangsa.
Menurut Manivannan, keluarga mempunyai maklumat mengenai komunikasi dan lokasi terakhir beberapa mangsa yang dipercayai boleh membantu pihak berkuasa memberi tumpuan kepada kawasan pencarian.
"Tujuan kami mudah, iaitu mencari mereka yang hilang dan membawa mereka pulang dengan selamat," katanya.










