SHAH ALAM, 29 OGOS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah premis di Jalan Meru Setia 1, Taman Meru Indah, Klang semalam selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
Tindakan itu dilaksanakan Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Penguatkuasa MBDK menerusi pemeriksaan di premis berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti perniagaan termasuk menjual arak tanpa lesen perniagaan yang sah.
"Pemeriksaan turut mendapati penjaga premis berkenaan merupakan seorang warga asing.
"Susulan itu, tindakan sitaan dilaksanakan menerusi satu Borang Inventori di bawah UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MPK 2007," kata MBDK menerusi kenyataan di Facebook.
Dalam operasi berasingan, MBDK turut menjalankan penguatkuasaan terhadap peniaga di Pasar Malam Jalan Pelasari, Taman Chi Liung.
Seramai 14 peniaga di lokasi itu didapati menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah.
Daripada jumlah berkenaan, 10 kompaun dikeluarkan terhadap peniaga yang terlibat.
Empat lagi peniaga diarahkan menghentikan aktiviti jualan selain meninggalkan lokasi berkenaan serta-merta.
MBDK memaklumkan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan semua aktiviti perniagaan serta penjajaan mematuhi peraturan dan syarat pelesenan ditetapkan.









