HYDERABAD, 28 OGOS: Nepal menyelamatkan 121 warga asing dari pelbagai negara di kawasan terjejas banjir, manakala ratusan lagi masih dilaporkan hilang.
Pelancong asing yang diselamatkan setakat 5.30 petang waktu tempatan (7.45 malam waktu Malaysia) terdiri daripada 85 warga India, 16 dari China, sembilan dari Korea Selatan, masing-masing dua dari Amerika Syarikat, Rusia dan Itali, serta masing-masing seorang dari Belgium, Bulgaria, Portugal, Sepanyol dan Switzerland, mengikut statistik yang dikeluarkan lembaga pelancongan Nepal pada Jumaat.
Angka korban akibat banjir Sungai Bhote Koshi dan Trishuli pada Rabu yang berpunca daripada runtuhan glasier di Himalaya telah meningkat kepada kira-kira 550 orang.
Bencana itu menyebabkan kematian dan kemusnahan di Nepal dan China.
Pihak berkuasa Nepal berdepan kesukaran untuk mengesahkan identiti mangsa dan menyediakan kemudahan penyimpanan mayat yang ditemukan berikutan hospital di Chitwan dan Pokhara mengalami kekurangan kapasiti, menurut laporan media tempatan.
Pasukan pencari dan penyelamat sedang mengesan mayat dan mangsa terselamat di beberapa kawasan di bahagian hilir.
Perdana Menteri Nepal Balendra Shah pada Jumaat mempengerusikan Mesyuarat Kabinet bagi meneliti kesan susulan bencana banjir berkenaan.
Shah dan rakannya dalam Kabinet akan menyumbang sebulan gaji mereka kepada Tabung Bantuan Bencana Alam Perdana Menteri bagi menyokong usaha bantuan banjir.
India telah menyumbang dua penghantaran bantuan kemanusiaan ke Nepal berjumlah 47.5 tan dan pesawat ketiga yang membawa barang bantuan dijadual berlepas pada Jumaat.
Bilangan warga India yang terputus hubungan kini berjumlah 320 orang, kata Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India Randhir Jaiswal semasa satu taklimat media.
Seramai 63 warga India yang bekerja di projek hidroelektrik Trishuli disahkan selamat, manakala 21 lagi mangsa yang diselamatkan telah dibawa pulang ke India.
Selain itu, terdapat kira-kira 100 orang "keturunan India" yang memegang pasport negara lain masih belum dikesan, kata Jaiswal.
Mereka berkemungkinan menyertai perhimpunan keagamaan Kailash Mansarovar di Wilayah Xizang, China.
Kira-kira 400 warga India di wilayah China itu dilaporkan selamat.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Nepal pada Jumaat untuk menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa mangsa serta menzahirkan solidariti bersama Nepal.
Beliau menyampaikan kepada Shah bahawa Pakistan sedang menghantar bantuan kecemasan ke Nepal bagi membantu usaha bantuan banjir, menurut Pejabat Perdana Menteri Shehbaz dalam satu kenyataan.







