SHAH ALAM, 28 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan usaha mengesan rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar dan tanah runtuh di Nepal dipercepatkan.
Beliau berkata kerajaan telah menerima senarai terkini rakyat Malaysia, namun masih terdapat beberapa kes membabitkan keselamatan dan kemungkinan kehilangan nyawa yang belum dapat disahkan.
“Kita telah menerima senarai terakhir dan memang terdapat beberapa puluh rakyat Malaysia yang sempat datang. Jelas kehilangan nyawa, ataupun masih belum dapat disahkan.
“Jadi kita minta tolong kawan semua hubungi. Kita ada ramai di luar negara dan tadi saya dapat daripada beberapa negara berhubung keadaan mereka,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!.

Bercakap kepada pemberita di Butterworth hari ini, Anwar berkata kerajaan turut menyelaras maklumat daripada beberapa negara termasuk India, China dan Bangladesh bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia di kawasan terjejas.
Katanya, semua maklumat berkenaan akan diteliti bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia, termasuk mendapatkan pengesahan sama ada mereka mengalami kecederaan.
Dalam perkembangan berkaitan, sembilan peserta trekking termasuk dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta seorang ejen tempatan di Nepal dilaporkan masih belum dapat dihubungi.
Banjir besar dan tanah runtuh berlaku di kawasan sempadan Nepal-China sejak Rabu, termasuk menjejaskan lintasan sempadan Pelabuhan Gyirong di Daerah Gyirong, China.
Sementara itu, JBPM bersedia menggerakkan Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) ke Nepal pada bila-bila masa, termasuk dengan notis singkat, sekiranya menerima arahan kerajaan.






