112 atlet UNISEL siap sedia buru kejayaan di SUKIPT 2026

27 Ogos 2026, 12:00 PM
112 atlet UNISEL siap sedia buru kejayaan di SUKIPT 2026
112 atlet UNISEL siap sedia buru kejayaan di SUKIPT 2026
112 atlet UNISEL siap sedia buru kejayaan di SUKIPT 2026

SHAH ALAM, 27 OGOS: Seramai 112 atlet Universiti Selangor (UNISEL) bersiap sedia menggalas cabaran pada Kejohanan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) Edisi Ke-7 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM), bermula esok hingga 6 September ini.

Persiapan kontinjen itu disempurnakan menerusi Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen di Dewan Senat, Kampus Bestari Jaya, semalam.

Jabatan Komunikasi Korporat UNISEL berkata penyerahan bendera berkenaan menjadi simbol sokongan dan keyakinan universiti terhadap kemampuan atlet untuk memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan.

“Penyerahan bendera tersebut turut melambangkan keyakinan pihak universiti terhadap kemampuan para atlet untuk beraksi dengan cemerlang, di samping menjunjung tinggi nilai disiplin, integriti dan semangat kesukanan sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen disempurnakan Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL, Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh, yang mewakili Presiden dan Naib Canselor UNISEL.

Turut hadir barisan pengurusan UNISEL, pegawai kontinjen sukan universiti, pengurusan sukan serta 112 atlet yang akan membawa cabaran universiti pada SUKIPT 2026.

Sebagai persediaan mental sebelum kejohanan, kontinjen UNISEL turut mengikuti webinar bertajuk ‘Excelling in Academic and Sports: Unlocking the Secrets of Students-Athlete Success’ yang disampaikan Dr Zulakbal Abd Karim dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sesi itu bertujuan menyuntik motivasi serta meningkatkan keyakinan atlet dalam mengimbangi kecemerlangan akademik dan prestasi sukan menjelang saingan SUKIPT 2026.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.