PETALING JAYA, 27 OGOS: Selangor menyasarkan potensi transaksi bernilai RM8 bilion dan sekurang-kurangnya 500 pertemuan perniagaan berimpak tinggi menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tahun ini bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk ke ASEAN.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata sasaran itu mencerminkan usaha Kerajaan Negeri menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh kerjasama antara pemain industri menerusi penganjuran sidang tahunan berkenaan.
“SIBS 2026 yang akan berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur turut menampilkan komponen baharu termasuk Selangor TechSphere Summit (STS) dan program bakat Selangor Career Outreach (SCOUT).
“Program bakat itu bertujuan membangunkan serta memadankan bakat tempatan dengan keperluan industri di Selangor,” katanya pada majlis pelancaran SIBS di sini, hari ini.
Selain STS dan SCOUT, komponen lain SIBS tahun ini ialah Selangor-ASEAN Business Conference (SABC), Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK), Selangor AI and Semiconductor Summit (AiSEM@Selangor), Selangor Investment Forum (SIF) dan Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE).

Tahun lalu, SIBS merekodkan potensi transaksi bernilai RM8.17 bilion, kurang daripada sasaran RM10 bilion.
Pada 2024, sidang kemuncak itu mencatat nilai potensi transaksi RM13.86 bilion menerusi dua edisi penganjuran.
Sze Han berkata matlamat utama negeri bukan sekadar menjana transaksi menerusi SIBS, tetapi membina ekosistem lebih menyeluruh bagi industri strategik di Selangor.
“Ini termasuk sektor semikonduktor, aeroangkasa, automotif, digital, kreatif dan ekonomi penjagaan, dengan sektor terakhir itu turut dilihat mempunyai potensi pasaran yang besar,” katanya.
Beliau menjelaskan SIBS turut berperanan mencapai objektif Rancangan Selangor Kedua (RS-2), khususnya dengan memudah cara kerjasama industri, pelaburan langsung asing dan modal teroka bagi membangunkan industri strategik.
“Setiap kerjasama dan perjanjian yang diwujudkan menerusi SIBS bertujuan menyumbang kepada aspirasi lebih besar Selangor untuk menjadi model ASEAN dalam pembangunan ekonomi dan kualiti hidup menjelang 2030,” katanya.
SIBS merupakan platform perdagangan dan perniagaan antarabangsa tahunan Selangor anjuran Invest Selangor Bhd yang menghimpunkan syarikat tempatan dan antarabangsa, pelabur serta pemain industri untuk mempamerkan produk, meneroka peluang perniagaan dan memperkukuh hubungan perdagangan dengan pasaran ASEAN.
SIBS tahun ini merupakan edisi ke-10 dan bertujuan mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab pelaburan dan perniagaan utama di rantau ini.








