SIBS 2026 sasar lepasi RM8.17 bilion, perkenal tiga tonggak baharu

11 Mac 2026, 12:28 AM
SIBS 2026 sasar lepasi RM8.17 bilion, perkenal tiga tonggak baharu
SIBS 2026 sasar lepasi RM8.17 bilion, perkenal tiga tonggak baharu

SHAH ALAM, 11 MAC: Invest Selangor Bhd menyasarkan melepasi nilai potensi transaksi perniagaan RM8.17 bilion tahun lalu ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, yang akan diadakan Oktober ini.

EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata sehubungan itu, edisi ke-10 SIBS akan memperkenalkan tiga tonggak baharu yang direka khusus untuk memperkukuh ekosistem pelaburan pelbagai sektor di negeri itu.

“Tonggak pertama ialah Sidang Kemuncak Selangor Techsphere yang dianjurkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dengan kerjasama Hannover Fairs Asia Pacific (anak syarikat Deutsche Messe AG yang terkenal di seluruh dunia), bagi menumpukan kepada bakat teknikal dan inovasi perindustrian.

“Tonggak kedua ialah Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor Selangor yang dianjurkan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC). Tonggak ketiga pula ialah Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor yang dianjurkan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS),” katanya selepas melancarkan pelan hala tuju untuk SIBS 2026 di sini semalam.

Sze Han berkata tonggak berkenaan akan menyertai program sedia ada iaitu Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) dan Ekspo Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK).

“Pada tahun ini, SIBS turut memperkenalkan Forum Pelaburan Selangor, iaitu seminar peringkat tertinggi yang memberi tumpuan kepada industri utama dan Ekspo Bakat Yang Menghubungkan Kerjaya Selangor, iaitu karnival kerjaya khusus dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi merapatkan jurang bakat untuk pelaburan yang diluluskan di Selangor,” katanya.

EXCO Pelaburan, Ng Sze Han ditemui media selepas melancarkan pelan hala tuju Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Concorde Shah Alam pada 10 Mac 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau menambah sejak diperkenalkan pada 2015, SIBS - yang sebelum ini dikenali sebagai Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) - menyaksikan nilai potensi transaksinya melonjak daripada kira-kira RM200 juta pada tahun awal kepada RM13.85 bilion pada 2024.

Beliau berkata sidang kemuncak itu juga telah bertindak sebagai pemudah cara nilai potensi transaksi terkumpul sebanyak RM30.56 bilion setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai enjin ekonomi utama Malaysia.

“Selain perdagangan, SIBS mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat utama untuk kepimpinan pemikiran. Setakat ini, sidang kemuncak itu menampilkan lebih 1,081 penceramah dan menerima kehadiran lebih 23,000 peserta persidangan, sekali gus memudah cara wacana peringkat tinggi mengenai landskap ekonomi ASEAN yang berkembang,” katanya.

SIBS 2026 dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di samping melakar trajektori serantau baharu melalui pengenalan SIBS@ASEAN Edisi Bandung yang akan diadakan dari 9 hingga 10 Julai.

Beliau berkata Edisi Bandung, Indonesia, dipilih secara strategik sebagai destinasi sulung berikutan persamaan ekonominya yang ketara dengan Selangor, memandangkan kedua-dua wilayah berperanan sebagai hab perindustrian utama dan pusat inovasi bagi negeri masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata SIBS@ASEAN menandakan lembaran baharu dalam usaha menempatkan semula Selangor sebagai penghubung serantau.

“Kami menjangka untuk membawa kira-kira 50 syarikat berpangkalan di Selangor ke Edisi Bandung pada Julai 2026. Memandangkan ciri-ciri ekonomi yang sama antara Selangor dan Jawa Barat, inisiatif ini akan membantu memastikan perniagaan tempatan kekal berdaya saing dan relevan di peringkat global,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.