KATHMANDU/ ISTANBUL / ISLAMABAD, 27 OGOS: Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat di sempadan Nepal-China meningkat kepada 160 orang manakala lebih 680 pelancong, pengembara, anggota keselamatan, pekerja dan penduduk tempatan dilaporkan hilang pada Rabu di kedua-dua negara, menurut laporan Anadolu Ajansi memetik kenyataan pegawai.
Polis Nepal berkata pasukan penyelamat setakat ini telah menemukan 157 mayat sementara 54 orang berjaya diselamatkan dari kawasan yang terjejas akibat banjir.
Media kerajaan China melaporkan tiga kematian dan 265 orang hilang di wilayah selatan Tibet.
Menurut Pejabat Perdana Menteri Nepal, sebanyak 44 anggota tentera, 28 pegawai polis, 13 anggota polis bersenjata dan 60 kakitangan awam yang bekerja di projek tenaga hidro turut dilaporkan hilang.
Jumlah pelancong dan pengembara yang hilang pada mulanya dilaporkan 484 orang termasuk 391 warga asing dan 93 warga Nepal, menurut pejabat tersebut.
Sekurang-kurangnya 19 jambatan dihanyutkan manakala jalan raya sepanjang 40 kilometer dan 13 projek tenaga hidro mengalami kerosakan, menurut anggaran kerajaan Nepal. Kira-kira 200 trak turut dihanyutkan.
"Akibat banjir itu, sejumlah besar projek tenaga hidro, pejabat kerajaan dan kemudahan jalan raya telah musnah," kata Menteri Luar Nepal Sishir Khanal dalam taklimat kepada parlimen mengenai bencana tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran telah dilancarkan di kedua-dua belah sempadan.
Mereka yang dilaporkan hilang termasuk warga Nepal, India, United Kingdom, Afrika Selatan, Malaysia, Australia dan Belanda manakala kewarganegaraan ramai lagi mangsa belum disahkan.
Kementerian Luar Korea Selatan menyatakan lapan warga republik itu "tidak dapat dikesan", sementara 10 yang lain terkandas akibat banjir di Nepal.
Khanal berkata banjir menyebabkan kemusnahan meluas di daerah Rasuwa, Dhading dan Chitwan.
"Dilengkapi helikopter, dron dan rakit, anggota penyelamat daripada pelbagai pasukan keselamatan negara - Polis Nepal, Polis Bersenjata dan Tentera Nepal – telah dikerahkan ke kawasan yang dilanda banjir," kata Khanal.
Agensi Berita Xinhua melaporkan kejadian tanah runtuh berlaku berhampiran Pelabuhan Gyirong, iaitu laluan sempadan utama antara kedua-dua negara, di Wilayah Autonomi Xizang (turut dikenali sebagai Tibet) di barat daya China.
"Bencana itu telah memutuskan jalan raya menuju ke pelabuhan di sebelah pihak China serta menjejaskan sistem komunikasi dan bekalan elektrik," lapor Xinhua, memetik kenyataan biro pengurusan kecemasan Daerah Gyirong di Bandar Xigaze.
Presiden China Xi Jinping mengarahkan usaha mencari dan menyelamat dilakukan secara habis-habisan.
Xi turut mengarahkan usaha untuk "memindahkan penduduk yang berisiko dan memberikan rawatan perubatan segera kepada mereka yang cedera bagi meminimumkan jumlah korban".
"Pihak berkuasa di Xizang telah menggerakkan pasukan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Semua operasi berkaitan sedang dijalankan," lapor Xinhua.
Di Kathmandu, ibu negara Nepal, hospital kerajaan dan kemudahan perubatan yang dikendalikan oleh agensi keselamatan telah dikosongkan bagi menempatkan mereka yang cedera.
Pelancong sering berkunjung ke kawasan Rasuwagadhi untuk melakukan aktiviti pendakian di wilayah Langtang, antara destinasi pendakian paling popular di Nepal.
Rasuwagadhi turut dilalui pengembara yang dalam perjalanan ke Gunung Kailash dan Tasik Mansarovar di China.
Perdana Menteri India Narendra Modi berkata beliau telah bercakap dengan rakan sejawatnya dari Nepal Balendra Shah dan menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa.
Modi turut menyatakan bahawa India bersedia untuk menghulurkan segala bentuk bantuan kemanusiaan kepada Nepal.
"Pasukan kami sedang menyelaras usaha menyelamat dan bantuan dengan rapi," katanya di platform X.
India telah menghantar 10 tan bantuan kemanusiaan, bekalan bantuan bencana dan ubat-ubatan penting bagi menyokong usaha Nepal menangani bencana banjir besar itu.
Samrat Choudhary, Ketua Menteri negeri Bihar di bahagian timur, menyatakan di platform X bahawa arahan telah dikeluarkan untuk "memastikan pemantauan benteng dilakukan sepanjang masa, rondaan pada waktu malam, serta persediaan sewajarnya di daerah-daerah berisiko tinggi" susulan kejadian banjir di Nepal.
Penduduk di kawasan rendah digesa untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat secepat mungkin, menurut laporan penyiar awam All India Radio.
Satu penilaian awal memberikan penjelasan mengenai kemungkinan bagaimana lonjakan aliran air berlaku secara tiba-tiba yang menyebabkan kemusnahan meluas di sepanjang Sungai Lhende dan Sungai Bhotekoshi.
Analisis terhadap imej satelit Planet Labs menunjukkan bahawa kejadian tanah runtuh yang melibatkan salji dan batuan berhampiran sempadan Nepal-China telah mencetuskan banjir yang membawa banyak serpihan di Sungai Lhende.
Bagaimanapun pihak berkuasa masih menilai bencana itu serta kesan keseluruhannya, menurut Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal.
Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan bahawa kejadian tanah runtuh bermagnitud 5.2 dan bukannya gempa bumi yang menyebabkan aktiviti seismik sehingga mencetuskan runtuhan salji serta banjir kilat susulan.
Sebelum ini, gempa bumi bermagnitud 4.4 dipercayai menjadi punca runtuhan salji tersebut.






