SHAH ALAM, 28 NOV: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan algoritma media sosial berpotensi memperluas pengaruh maskuliniti toksik menerusi pendedahan berulang kepada kandungan yang menonjolkan sifat kelelakian secara keterlaluan.
Profesor Madya Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nasrudin Subhi berkata terdapat pelbagai drama janaan AI yang memaparkan sifat maskulin, termasuk yang berunsur toksik.
Menurutnya, algoritma media sosial pula mendorong pengguna untuk terus menonton kandungan serupa berdasarkan tontonan terdahulu.
“Bila kita dah tengok sekali, dia akan ada simpan algoritma itu dan dia akan ada teaser ataupun pop-up untuk menarik kita tengok lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa bertajuk ‘Lelaki moden: Maskulin atau toksik?’ terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Nasrudin menjelaskan tidak semua kandungan yang menggambarkan lelaki sebagai individu dominan dan tegas membawa pengaruh negatif, selagi sifat berkenaan tidak diamalkan secara keterlaluan.
Justeru, beliau menekankan kepentingan sikap asertif dalam kalangan pengguna supaya bijak menilai kandungan yang ditonton menerusi media sosial.
“Kita sebagai manusia sebenarnya perlu ada sifat asertif, maksudnya pandai untuk memilih yang mana mendatangkan kebaikan untuk kita dan mana yang mungkin mendatangkan kemudaratan, kita tolak tepi,” katanya.
Beliau menjelaskan maskuliniti merujuk kepada sifat kelelakian yang lazim dikaitkan dengan kekuatan, ketegasan dan dominasi.
Namun katanya, sifat itu boleh menjadi toksik apabila diamalkan secara keterlaluan sehingga seseorang menganggap dirinya sentiasa betul dan enggan berkompromi.
Ego melampau, agresif antara ciri-ciri maskuliniti toksik
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata sikap ego melampau, cepat melenting apabila ditegur dan enggan mengakui kesalahan sendiri antara ciri-ciri maskuliniti toksik.

Menurutnya, sifat terlalu dominan menyebabkan seseorang mahu orang lain sentiasa mengikut kehendaknya tanpa memberi ruang untuk berkompromi.
“Kalau misalnya ego itu yang menjadi dominasi dalam diri dan kita hanya bersandarkan kepada ego, maknanya tak boleh sentuh sikit, cepat melenting,” katanya.
Beliau turut memberi contoh perlakuan agresif seperti membaling barang, mengamuk dan menghentak meja ketika marah sebagai tingkah laku keterlaluan yang tidak wajar diamalkan.
Katanya, cara seseorang dibesarkan dan pengaruh persekitaran juga boleh memainkan peranan dalam pembentukan sikap maskuliniti toksik.
Justeru, Nasrudin menekankan kepentingan sikap bertanggungjawab, kejujuran, toleransi dan empati dalam membentuk lelaki matang yang mampu menghormati pandangan serta perasaan orang lain.








