Era AI, pengamal media perlu lebih teliti semak fakta

28 Nov 2026, 4:00 AM
Era AI, pengamal media perlu lebih teliti semak fakta
Era AI, pengamal media perlu lebih teliti semak fakta
Era AI, pengamal media perlu lebih teliti semak fakta

SHAH ALAM, 28 NOV: Pengamal media perlu lebih teliti menapis maklumat dan mengesahkan fakta seiring penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang mempercepat proses penghasilan berita.

Pengurus Program Sarjana Muda Penyiaran dan Diploma Perhubungan Awam (PR) Management and Science University (MSU) Nur Khaleeda Mohd Yusri berkata penguasaan teknologi sahaja tidak mencukupi untuk melahirkan pengamal media profesional tanpa kemahiran penyelidikan dan ketelitian dalam menyampaikan berita.

Menurutnya, lambakan maklumat di platform digital menuntut pengamal media memastikan kesahihan setiap maklumat yang diperoleh bagi mengelakkan penyebaran berita tidak tepat.

“Kalau kita lihat sekarang, boleh dikatakan lebih mudah berbanding cara dahulu, sebab kalau dulu wartawan akan meluangkan masa yang lebih lama.

“Tapi sekarang semuanya di hujung jari, dengan bantuan AI semuanya jadi lebih mudah dan lebih pantas, tapi pengamal media tetap kena tapis semua informasi yang diperolehinya,” katanya ketika ditemui pada program Next GenZ Media Selangor, baru-baru ini.

Pengurus Program Sarjana Muda Penyiaran dan Diploma Perhubungan Awam (PR) Management and Science University (MSU) Nur Khaleeda Mohd Yusri.

Program yang berlangsung pada 18 dan 19 November lalu itu melibatkan lawatan 26 pelajar MSU bersama pensyarah pengiring ke pejabat Media Selangor.

Inisiatif berkenaan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai operasi organisasi media, keperluan kemahiran serta cabaran industri dalam era digital, khususnya dalam penghasilan kandungan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Mengulas lanjut, Nur Khaleeda berkata pensyarah turut memainkan peranan penting dalam mendidik bakal pengamal media supaya membudayakan amalan menyemak fakta berpandukan rujukan dan sumber sahih.

Menurutnya, perkembangan teknologi turut mempengaruhi proses pembelajaran mahasiswa, khususnya dengan kewujudan pelbagai peralatan dan perisian yang mudah diakses bagi membantu mereka menghasilkan kandungan.

“Pelajar sekarang lebih tahu apa perisian (software) yang bersesuaian, jadi mereka lebih pantas untuk mengetahui dan meneroka perisian yang boleh membantu mereka,” tambahnya.

Pelajar MSU, Sarah Khaled.

Sementara itu, pelajar MSU Sarah Khaled berpandangan AI boleh dimanfaatkan untuk mencari maklumat berkaitan berita, namun mahasiswa tidak seharusnya terlalu bergantung kepada teknologi berkenaan.

Katanya, semakan secara kendiri masih diperlukan bagi memastikan ketepatan maklumat sebelum digunakan atau disampaikan kepada masyarakat.

“AI boleh digunakan untuk membantu kita mencari maklumat berkaitan berita, tetapi kita masih perlu mendapatkan sumber yang sahih dan membuat semakan sendiri.

“Jadi, pelajar tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada AI semata-mata,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan AI tidak boleh menggantikan peranan wartawan yang bukan sekadar menghasilkan berita, malah bertindak sebagai saksi serta mengumpul maklumat secara langsung daripada sumber primer.

Beliau berkata penggunaan teknologi berkenaan perlu diteliti supaya tidak menjejaskan masa depan industri kewartawanan, memandangkan tugas wartawan memerlukan disiplin, pengalaman dan keupayaan mengolah berita.

Fahmi turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan pekerjaan wartawan terus terpelihara, selain membantu industri media kekal mampan dan berdaya saing.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.