Literasi digital ibu bapa benteng lindungi anak daripada jenayah siber

9 Jul 2026, 10:40 AM
Literasi digital ibu bapa benteng lindungi anak daripada jenayah siber
Literasi digital ibu bapa benteng lindungi anak daripada jenayah siber
Literasi digital ibu bapa benteng lindungi anak daripada jenayah siber

SHAH ALAM, 9 JULAI: Pengetahuan dan literasi pendigitalan dalam kalangan ibu bapa perlu diperkasa bagi mengelakkan gambar atau identiti anak-anak terdedah kepada ancaman jenayah siber.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata ibu bapa memainkan peranan penting sebagai benteng pertama dalam melindungi keluarga daripada eksploitasi di alam maya, justeru mereka perlu didedahkan dengan ilmu teknologi dan keselamatan digital.

Beliau berkata budaya media sosial kini berada pada tahap maksimum apabila kebanyakan ibu bapa gemar berkongsi pelbagai aspek kehidupan termasuk aktiviti harian, kerjaya, pencapaian serta kehidupan bersama keluarga.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil. Foto Siraj Jalil

“Kita sebagai orang biasa melihat kandungan ini sebagai terbuka tetapi kalau penjenayah lihat, mereka nampak peluang berkait kanak-kanak. Malah kita sendiri tak tahu kandungan kita dicuri, diakses oleh mana-mana pihak.

“Jadi ibu bapa sendiri mainkan peranan. Literasi digital perlu dilakukan. Kerajaan perlu adakan advokat dengan pelbagai pihak supaya ibu bapa ini ada kesedaran. Adakan ceramah.

“Kalau ibu bapa tidak mengambil serius perkara ini, maka ia membentuk ketidakseimbangan. Ibu bapa tak ada usaha, tak ada galakan untuk fahami konteks, jenayah siber ini akan berleluasa,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara berkata perkara itu perlu ditangani semua pihak malah terbaharu kerajaan sendiri sudah meluluskan Rang Undang-undang Jenayah Siber bagi mengekang masalah itu terus berleluasa.

“Kerajaan, pembuat dasar, polisi sudah cakna isu ini. Larangan akaun media sosial bawah usia 16 tahun juga dibuat. Literasi dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti juga sudah dilaksana.

“Tapi kalau rakyat terutama ibu bapa sendiri tidak hiraukan, tidak lakukan tindakan sewajarnya, masih berkongsi aktiviti anak-anak, usaha kita lakukan tidak akan berjaya.

Ibu bapa merupakan benteng pertahanan pertama anak-anak,” katanya.

Minggu lalu, Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) mengingatkan ibu bapa supaya lebih berhati-hati memuat naik gambar anak-anak mereka di Internet kerana berisiko digunakan untuk menghasilkan bahan penderaan seksual kanak-kanak yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Berikutan itu, NCA bersama Yayasan Pemantau Internet (IWF) mengeluarkan panduan baharu bagi melindungi kanak-kanak daripada peningkatan imej penderaan seksual yang dijana AI sebagai sebahagian daripada kempen baharu yang menyasarkan ibu bapa dan penjaga.

Langkah diambil selepas sebuah sekolah di United Kingdom (UK) menjadi sasaran kumpulan jenayah yang menggunakan gambar murid diperoleh daripada sumber awam untuk menghasilkan imej seksual kanak-kanak menggunakan teknologi AI, sebelum mengugut untuk menyebarkan imej itu jika wang tebusan tidak dibayar.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.