SHAH ALAM, 17 NOV: Sebanyak 181,750 kes penipuan dalam talian direkodkan di seluruh negara dengan jumlah kerugian mencecah RM6.95 bilion bagi tempoh 2023 hingga Ogos tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 45,683 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, membabitkan kerugian RM1.18 bilion.
Menurutnya, jumlah kes penipuan dalam talian meningkat daripada 34,495 kes pada 2023 kepada 35,368 kes pada 2024, sebelum melonjak kepada 66,204 kes pada tahun lalu.
Dari segi kerugian, sebanyak RM1.22 bilion direkodkan pada 2023, meningkat kepada RM1.57 bilion pada 2024 dan RM2.97 bilion pada 2025.
“Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memandang serius perkembangan jenayah penipuan dalam talian yang terus menjadi antara cabaran utama jenayah komersil, khususnya dari segi peningkatan bilangan kes serta kerugian kewangan yang ditanggung oleh mangsa,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Saifuddin menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun yang meminta penjelasan mengenai jumlah kes dan kerugian akibat penipuan dalam talian, selain perancangan memperkenalkan prinsip liabiliti terhadap bank, syarikat telekomunikasi dan platform digital.
Menurut beliau, jenayah telekomunikasi mencatatkan jumlah kes tertinggi sepanjang tempoh 2023 hingga Ogos 2026 iaitu 69,195 kes, diikuti jenayah e-dagang sebanyak 47,221 kes.
Sementara itu, penipuan percintaan atau love scam merekodkan jumlah kes paling rendah iaitu 3,540 kes.
Bagaimanapun, dari segi nilai kerugian, penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM3.28 bilion, diikuti jenayah telekomunikasi dengan RM2.03 bilion.
Penipuan percintaan pula merekodkan kerugian RM169.72 juta, iaitu paling rendah antara kategori jenayah yang dinyatakan.
Secara keseluruhan, statistik berkenaan menunjukkan peningkatan ketara jumlah kes dan kerugian penipuan dalam talian antara 2023 hingga 2025, dengan nilai kerugian pada tahun lalu melebihi dua kali ganda berbanding 2023.







