KLANG, 26 OGOS: Pemilik bangunan berhampiran Pasar Borong Klang, dekat sini dikenakan tindakan tegas selepas dikesan membina beberapa bilik haram dalam premis pejabat demi mengaut keuntungan semata-mata.
Pengarah Jabatan Bomda dan Penyelamat (JBPM) Selangor Dato’ Wan Md Razali bin Wan Ismail berkata pembinaan ruang kecil itu umpama perangkap maut kerana ia memberi risiko besar terhadap aspek keselamatan sekiranya berlaku kejadian kebakaran.
Menurutnya, keadaan lebih membimbangkan kerana unit yang diubah suai dan didiami warganegara asing itu turut dihuni keluarga yang memiliki kanak-kanak serta bayi.

“Hasil Ops Sarang Burung hari ini, kita dapati sembilan premis pejabat telah diubah suai menjadi unit bilik yang tidak memenuhi aspek keselamatan seperti material dindingnya mudah terbakar selain hanya mempunyai satu laluan keluar.
“Bahagian hadapan serta belakang premis dipasang gril. Jika berlaku kecemasan atau kebakaran, mereka akan terperangkap dan berisiko kehilangan nyawa," katanya selepas menjalankan operasi terbabit di sekitar Jalan Pasar Baru, dekat sini.
Operasi turut melibatkan kerjasama pihak polis, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor.
Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, operasi terbabit dijalankan susulan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni premis malah terdapat beberapa kes kebakaran sehingga menyebabkan kematian melibatkan rumah burung.

“Terbaharu, kes berlaku pada 12 Ogos lalu membabitkan seorang lelaki warga emas dan anak saudaranya. Kedua-duanya maut selepas terperangkap dalam unit bilik mereka.
“Mangsa ditemui maut akibat sesak nafas selepas cuba menyelamatkan diri di dalam bilik air dan tandas. Kita dapat kesan banyak kedai pejabat dijadikan tempat penginapan dalam keadaan padat dan tidak tersusun, tidak berstruktur dengan baik,” katanya.
Berikutan itu, pihaknya akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) bagi menghapuskan bahaya kebakaran terhadap pemilik premis terbabit.
Katanya, tempoh pembetulan akan diberikan mengikut tahap keseriusan pengubahsuaian, termasuk sehingga 60 hari atau lebih singkat jika melibatkan laluan keluar yang terhalang.

“Jika tidak patuh, kita akan ambil tindakan pendakwaan mengikut Seksyen 10/Seksyen 58 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Premis juga boleh diperintahkan tutup. Kita akan laksanakan operasi ini secara berkala dan berterusan dalam memastikan penghuni di premis sebegini dalam keadaan terkawal dan selamat," katanya.










