EXCO: Jemaah masjid, surau disaran pakai pelitup muka ketika jerebu

26 Ogos 2026, 4:20 AM
EXCO: Jemaah masjid, surau disaran pakai pelitup muka ketika jerebu

SHAH ALAM, 26 OGOS: Umat Islam khususnya jemaah masjid dan surau di kawasan terjejas jerebu di Selangor disaran memakai pelitup muka sebagai langkah melindungi kesihatan diri susulan keadaan jerebu ketika ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata jemaah turut dinasihatkan supaya memperbanyakkan minum air suam, khususnya ketika berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara kurang baik.

“Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah, di dalam masjid atau surau dan banyakkan meminum air suam.

“Jemaah juga terus digalakkan mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian mengikut keadaan setempat dan nasihat pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru pihak pengurusan masjid dan surau supaya memberi perhatian terhadap keadaan jemaah, khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan.

Katanya, pengunjung yang mengalami gejala seperti batuk, sesak nafas, sakit tekak atau kurang sihat akibat jerebu dinasihat mengurangkan aktiviti di luar rumah dan mengutamakan kesihatan diri.

“Mereka juga dinasihat mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya agar tidak membahayakan pengunjung masjid atau surau yang lain,” katanya.

Beliau menegaskan ibadah berjemaah di masjid dan surau hendaklah terus digalakkan dengan langkah pencegahan bersesuaian mengikut keadaan setempat serta nasihat pihak berkuasa.

“Marilah kita terus mengimarahkan masjid dan surau dengan penuh tertib, sambil mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti ketika jerebu ini,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.