SUKMA: Sultan gembira pencapaian luar biasa Selangor, emas tertinggi dalam sejarah

25 Ogos 2026, 8:07 AM
SUKMA: Sultan gembira pencapaian luar biasa Selangor, emas tertinggi dalam sejarah

SHAH ALAM, 25 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa gembira atas pencapaian luar biasa Kontinjen Selangor meraih 101 pingat emas sekali gus bergelar juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Baginda mengikuti perkembangan temasya sepanjang berlangsung malah terharu menyaksikan kesungguhan, disiplin dan semangat juang tinggi ditunjukkan barisan atlet.

“Selangor berjaya mendominasi pelbagai acara dan mengumpul 245 butir pingat secara keseluruhan. Lebih membanggakan jumlah kutipan emas tertinggi dalam sejarah penganjuran SUKMA sejak 1986.

“Kepada atlet Selangor yang berjaya memenangi pingat emas, tahniah Beta ucapkan. Kepada pemenang pingat perak dan gangsa, jangan sesekali berputus asa.

“Teruskan usaha dan tingkatkan prestasi agar mampu tampil lebih cemerlang pada masa hadapan, sekali gus mengharumkan nama Selangor dalam arena sukan peringkat negara mahupun antarabangsa,” titah Baginda di Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin berharap kejohanan sukan seperti SUKMA ini akan terus menjadi wadah penting dalam memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Sesungguhnya, kejayaan dalam sukan bukan diukur melalui pingat dan kejuaraan, tetapi turut terpancar melalui semangat kebersamaan yang mampu menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang,” titah Baginda.

Selangor dinobat juara temasya SUKMA 2026 selepas 11 hari berentap di laman sendiri dalam persaingan sengit merebut 368 pingat emas.

Kejayaan itu menyaksikan Selangor merangkul kejuaraan keseluruhan buat kali ke-10 selepas mengumpul 245 pingat merangkumi 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa. Terengganu di tempat ketiga dengan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa.

Foto Facebook Selangor Royal Office

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.