SHAH ALAM, 25 OGOS: Projek Pangsapuri Salak Mercu, Sepang kini berada di peringkat akhir pemantauan selepas sebahagian besar perkara berkaitan projek itu berjaya diselesaikan.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata perkembangan itu dikenal pasti ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Teknikal Pemantauan Pangsapuri Salak Mercu bersama jabatan dan agensi teknikal berkaitan semalam.
“Hasil penyelarasan mendapati sebahagian besar perkara telah diselesaikan dan kini hanya berbaki satu urusan pematuhan yang melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum proses seterusnya ke arah mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dapat dimuktamadkan,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa komited membantu urusan berkenaan bersama pihak berkaitan.
Menurut Borhan, usaha itu bagi memastikan perkara yang masih berbaki dapat diselesaikan dalam tempoh segera.
Katanya, perkembangan berkenaan amat penting dalam memastikan projek yang telah lama dinantikan itu dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Kita memahami penantian pemilik yang sekian lama menantikan projek ini siap.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangannya sehingga projek ini dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Pemantauan projek berkenaan akan diteruskan sehingga urusan pematuhan yang masih berbaki selesai.
Penyelesaian urusan itu membolehkan proses seterusnya ke arah mendapatkan CCC dimuktamadkan.









