SHAH ALAM, 9 NOV: Tiga individu ditemukan maut dipercayai akibat disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan kejadian itu, lapor Sinar Harian.
“Betul ada berlaku kejadian itu petang tadi, pihak kami akan kongsikan butiran lanjut kemudian,” katanya.
Terdahulu, beberapa klip video tular di media sosial memaparkan tiga jasad ditutup dengan kain batik dalam keadaan terbaring di bawah sebatang pokok.
Setakat ini, identiti mangsa dan keadaan sebenar kejadian belum diperincikan pihak berkuasa.







