SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita peralatan perlombongan mata wang digital (bitcoin) selepas mengesan empat premis menjalankan aktiviti itu tanpa kebenaran atau lesen sah di sekitar Bukit Beruntung.
Menurut MPHS, operasi bersepadu dilaksana Jabatan Penguatkuasaan MPHS dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam, susulan pengesanan penggunaan elektrik luar biasa dan melebihi kebiasaan di beberapa premis.
"Hasil pemeriksaan mendapati empat premis di kawasan perniagaan Kasturi, Trompet dan Jenjarum, Bukit Beruntung menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin tanpa kebenaran atau lesen sah.
"Tindakan sitaan terhadap peralatan perlombongan bitcoin di premis terbabit kemudian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan tatacara penguatkuasaan yang berkuat kuasa," katanya di Facebook.
Menurut MPHS, aktiviti berkenaan berpotensi menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada penduduk sekitar selain meningkatkan risiko kerosakan infrastruktur elektrik, litar pintas dan kebakaran.
"MPHS dan TNB menegaskan sebarang aktiviti yang menggunakan bekalan elektrik dalam skala besar perlu mematuhi peraturan ditetapkan, termasuk keperluan lesen, pendaftaran perniagaan serta syarat teknikal bekalan elektrik.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti tanpa kebenaran atau melanggar peruntukan undang-undang," katanya.
MPHS turut menasihatkan pemilik premis supaya memastikan premis mereka tidak disalahguna untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang serta mematuhi segala syarat dan peraturan ditetapkan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perlombongan Bitcoin tanpa kebenaran atau kegiatan mencurigakan boleh menyalurkan aduan kepada MPHS atau pejabat TNB berdekatan untuk tindakan lanjut.









