Selangor perkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah, benteng akidah ummah

25 Ogos 2026, 6:49 AM
Selangor perkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah, benteng akidah ummah
Selangor perkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah, benteng akidah ummah
Selangor perkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah, benteng akidah ummah

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan serius terhadap pemeliharaan dan pemerkasaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai benteng akidah ummah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata usaha itu penting bagi memastikan pembangunan Selangor tidak hanya cemerlang dari sudut fizikal, malah disertai pembinaan rohani ummah yang diberkati.

“Sirah perjuangan Rasulullah SAW menyingkap pengajaran yang sangat jelas. Baginda SAW tidak merintis pembinaan ummah dengan sekadar membina empayar yang gah, sebaliknya meluangkan masa membina rohani manusia terlebih dahulu menerusi penerapan akidah yang teguh.

“Oleh itu, dalam usaha menterjemahkan MADANI pada era ini, asas teguh yang sama tidak boleh sesekali ditinggalkan.

"Tanpa pemeliharaan akidah dalam kalangan generasi natijahnya kita mungkin sekadar melahirkan sebuah negeri yang cemerlang pembangunannya namun gagal dalam membangunkan rohani ummah yang diberkati,” ujarnya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berucap ketika majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 25 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berucap menerusi sembah ucapan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1448/2026 di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Berikutan itu katanya, Selangor sentiasa meletakkan penekanan yang amat serius terhadap pemeliharaan serta pemerkasaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Menelusuri sejarah keilmuan Islam, manhaj akidah ini telah diasaskan secara sistematik pada kurun ketiga dan

keempat Hijrah oleh dua tokoh ulama agung, iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

“Manhaj yang digagaskan oleh mereka telah memainkan peranan yang amat penting dalam memelihara akidah umat Islam daripada ancaman pelbagai kekeliruan, syubhat, serta doktrin fahaman yang menyimpang seperti Muktazilah, Jahmiyyah, dan Mujassimah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan penubuhan Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus berfungsi dalam memelihara agama dan bertindak sebagai pemulihan.

Persembahan nasyid ketika majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 25 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kerajaan Negeri menyedari bahawa pemeliharaan agama bukan semata-mata soal hukum dan penguatkuasaan, tetapi juga tentang rahmat dan pemulihan.

“Buktinya, Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman MAIS kini aktif memfokuskan pendekatan rehabilitasi, membimbing dan merawat rohani mereka yang tersasar agar kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis sambutan tersebut dengan diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Baginda turut berkenan menyampaikan Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 2026 kepada Pengasas Persatuan Muballighat Negeri Selangor (PMNS) Hindon Abdullah.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin, Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan EXCO Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.