SHAH ALAM, 25 OGOS: Lima jalan utama di sekitar bandar Kajang akan ditutup sepenuhnya dan secara berperingkat sempena Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026 di Stadium Kajang, 30 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata penutupan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas serta keselamatan orang awam sepanjang berlangsungnya sambutan.
"Jalan Mahkamah akan ditutup sepenuhnya bermula 26 Ogos hingga 31 Ogos 2026," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, penutupan secara berperingkat membabitkan Jalan Cempaka Putih, Jalan Cempaka Kuning, Jalan Stadium dan Jalan Cheras mengikut ketetapan berikut:
Pada 28 Ogos (Jumaat), penutupan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan bagi raptai sambutan dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi dan dari jam 7 hingga 11 malam.
Penutupan turut dilaksanakan pada 29 Ogos (Sabtu) dari jam 7 hingga 10 malam bagi raptai penuh sambutan, manakala pada 30 Ogos (Ahad), penutupan bermula jam 8 pagi hingga selesai sambutan.
"Beberapa laluan utama juga akan dilencongkan dan kawalan lalu lintas akan dilaksanakan oleh pihak polis bagi memastikan pergerakan trafik berada dalam keadaan lancar dan terkawal," katanya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan penggunaan jalan yang terlibat dalam tempoh penutupan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar lokasi sambutan.
Pihak polis turut menasihatkan pengunjung supaya mematuhi arahan serta panduan polis bertugas di lokasi ditetapkan selain menyemak lokasi dan kawasan parkir yang disediakan.
Dalam pada itu, Naazron berkata petugas kesihatan bersama ambulans dari Hospital Kajang, St John, Pusat Perubatan Kajang Plaza dan Angkatan Tentera Malaysia akan ditempatkan di beberapa lokasi bagi menghadapi sebarang kecemasan.
"Antaranya di belakang pentas VVIP, dalam perkarangan Restoran Sate Hj Samuri di Jalan Mahkamah dan di Jalan Stadium.
"Kerjasama pengguna jalan raya dan pengunjung amat dihargai bagi memastikan Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026 berlangsung lancar, selamat dan terkawal," katanya.
Sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan trafik boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan IPD Kajang di talian 03-8911 4222.







