Ketua kontinjen: Semangat atlet realisasi misi ‘sang juara’ Selangor

24 Ogos 2026, 3:34 PM
Ketua kontinjen: Semangat atlet realisasi misi ‘sang juara’ Selangor

SHAH ALAM, 24 OGOS: Ketua Kontinjen Selangor Abbas Salimmi Che Adzmi menyifatkan kejayaan merealisasikan misi ‘sang juara’ pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sebagai hasil semangat dan komitmen tinggi seluruh atlet negeri.

Beliau berkata pencapaian itu lebih bermakna apabila Selangor bukan sahaja muncul juara keseluruhan, malah mencatat 101 pingat emas sepanjang temasya.

“Alhamdulillah kita berjaya mencapai misi kita untuk SUKMA kali ini, iaitu misi kita sebagai sang juara dan malam ini secara rasmi Selangor diumumkan sebagai juara.

“Lebih manis lagi, kita dapat memecahkan rekod pungutan emas apabila memperoleh 101 emas pada SUKMA kali ini,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Ketua Kontinjen Selangor, Abbas Salimmi Che Adzmi ketika ditemu bual Media Selangor selepas kejayaan negeri muncul juara keseluruhan SUKMA 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

Untuk rekod, Selangor menamatkan temasya dwitahuan itu dengan kutipan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa bagi keseluruhan 245 pingat, sekali gus menduduki tangga teratas carta pungutan pingat.

Pencapaian itu turut menyaksikan kontinjen Merah Kuning melepasi sasaran awal 80 emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.

Sementara itu, Abbas turut merakamkan penghargaan kepada seluruh atlet Selangor yang disifatkannya menunjukkan semangat tinggi sepanjang saingan.

“Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua atlet kita yang sangat bersemangat dan mereka sangat bagus bagi saya.

“Saya yakin dengan apa yang mereka dapat pada SUKMA kali ini akan mereka teruskan dalam acara atau pertandingan lebih tinggi selepas ini,” katanya.

Kejayaan kali ini turut mengembalikan Selangor ke takhta juara keseluruhan selepas kali terakhir meraih gelaran berkenaan pada SUKMA Sarawak 2016.

Pada edisi itu, Selangor mengumpul 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.