SUKMA 2026: Sorakan penyokong bakar semangat atlet Selangor

24 Ogos 2026, 1:00 AM
SUKMA 2026: Sorakan penyokong bakar semangat atlet Selangor

KLANG, 24 OGOS: Sorakan penyokong umpama pemain ke-12 yang mampu membakar semangat atlet ketika berdepan cabaran sengit daripada lawan.

Begitulah pandangan Noraliya Norazmi, 19, yang bertugas sebagai sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Kompleks Boling Padang Bayuemas di sini.

Pelajar jurusan Pengurusan Peruncitan di Politeknik Metro Kuala Lumpur itu berkata beliau mendaftar sebagai sukarelawan bagi mencari pengalaman baharu, selain mahu turut serta menjayakan temasya sukan terbesar negara itu.

"Tugas kami sebagai penyokong adalah memberikan semangat dan sokongan moral kepada atlet Selangor terutamanya. Jadi, kami akan melaungkan sorakan padu setiap kali pemain mempamerkan aksi hebat di lapangan.

"Sorakan itu umpama suntikan moral untuk mereka, lebih-lebih lagi kita beraksi di gelanggang sendiri (home ground)," katanya kepada Media Selangor.

Noraliya Norazmi, 19, antara sukarelawan SUKMA 2026 yang bertugas di Kompleks Boling Padang Bayuemas, Klang. Foto SHAMZ JOHAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan, Nor Amylia Maztura Mazran, 41, yang bertugas di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, menyifatkan kehadiran penyokong penting bagi menaikkan semangat atlet yang sedang berjuang.

Suri rumah sepenuh masa yang menetap di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang itu menyahut seruan Kerajaan Negeri dengan mendaftar sebagai sukarelawan bersama suaminya, Khairul Ramli.

"Kehadiran pasukan sorak dapat membantu atlet dengan memberikan semangat dan motivasi kepada mereka.

"Sorakan serta sokongan yang diberikan boleh meningkatkan keyakinan diri atlet, mengurangkan rasa gementar dan membantu mereka kekal fokus sepanjang pertandingan. Selain itu, atlet akan rasa dihargai dan tidak berasa berjuang sendirian," katanya.

Beliau berharap sasaran 80 pingat emas kontinjen Selangor dapat dicapai, sekali gus membolehkan negeri itu muncul juara keseluruhan SUKMA kali ini.

SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos dengan kira-kira 10,000 sukarelawan bertugas sepanjang penganjuran SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 dalam pelbagai bidang termasuk teknikal, logistik serta pengurusan pertandingan.

Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan pada SUKMA, manakala Para SUKMA melibatkan 316 acara membabitkan 10 jenis sukan dan dijadual berlangsung dari 5 hingga 14 September depan.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.