Rangkuman SUKMA 2026: Silambam lengkapkan emas ke-101 Selangor

24 Ogos 2026, 2:30 PM
Rangkuman SUKMA 2026: Silambam lengkapkan emas ke-101 Selangor

SHAH ALAM, 24 OGOS: Silambam menghadiahkan pingat emas ke-101 Selangor pada hari terakhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sekali gus melengkapkan kejayaan kontinjen Merah Kuning muncul juara keseluruhan temasya di laman sendiri.

Selangor menamatkan kempen dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa bagi keseluruhan 245 pingat, jauh melepasi sasaran awal 80 emas yang ditetapkan sebelum saingan bermula.

Sasaran itu sudah dicapai sehari sebelum temasya berakhir menerusi kejayaan skuad e-sukan, sebelum kontinjen negeri terus menambah kutipan pada hari terakhir.

Gandingan lima atlet Selangor ungguli acara berirama

Emas ke-101 hadir menerusi acara Berirama Tanpa Senjata Campuran di Stadium MBSJ, Serdang apabila gandingan Venisha Saravanan, Sasmita Ravi, Roselynn Anuska Devit Raj, Sharvienrajh Selvam dan Preteish Anbucelvan mengungguli saingan.

Perak menjadi milik Perak manakala Terengganu membawa pulang gangsa.

Barisan juri memantau saingan silambam pada SUKMA 2026 di Stadium MBSJ, Serdang pada 24 Ogos 2026. Foto NAJAMUDDIN MOHD NOR/MEDIA SELANGOR

Selangor turut meraih perak menerusi acara Silambam Berirama Bersenjata Campuran.

Saingan silambam turut diwarnai rasa tidak puas hati beberapa pasukan terhadap keputusan pengadilan, selain final poruthal individu wanita 60 hingga 70 kilogram (kg) terpaksa diulang selepas bantahan Sarawak diterima pihak teknikal.

Dalam aksi ulangan, Nur Aleesya Zahierah Sali dari Sarawak menewaskan wakil Pulau Pinang, B Dharnisha 12-9 untuk meraih emas selepas keputusan asal 33-31 memihak kepada Pulau Pinang.

Badminton capai sasaran, kriket tambah emas

Kem badminton Selangor menutup saingan dengan dua pingat emas, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum temasya bermula.

Dua emas berkenaan disumbangkan Muhammad Haziq Najib menerusi acara perseorangan lelaki serta skuad berpasukan wanita pada saingan di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam.

Muhammad Haziq Mohd Najib muncul juara perseorangan badminton lelaki di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) Shah Alam pada 24 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIASELANGOR

Pasukan kriket T20 lelaki Selangor pula menewaskan Wilayah Persekutuan dalam aksi final di Kompleks Kriket Bayu Emas, Klang.

Selangor mencatat 78 larian untuk menang dengan kelebihan enam wiket pada over ke-16 selepas Wilayah Persekutuan merekodkan 76 larian.

1 September cuti peristiwa

Kejayaan kontinjen negeri turut diraikan Kerajaan Selangor apabila Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan 1 September sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan SUKMA 2026.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap pada Majlis Penutupan SUKMA Selangor 2026 di Aneka Walk, Seksyen 14 malam ini.

“Atas prestasi luar biasa dalam SUKMA 2026, serta sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet dan kira-kira 10,000 sukarelawan yang membantu sepanjang temasya ini, saya dengan berbesar hati mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas sempena kejayaan SUKMA 2026.

“Cuti peristiwa khas itu ditetapkan pada 1 September 2026, iaitu Selasa depan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tirai ditutup meriah di Aneka Walk

SUKMA 2026 menutup tirai secara rasmi menerusi majlis penutup yang berlangsung meriah di Aneka Walk, Shah Alam malam ini.

Hadiah kemenangan kepada Selangor disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sepanjang berlangsung secara rasmi sejak 15 Ogos, temasya edisi ke-22 itu mempertandingkan 37 jenis sukan membabitkan 368 acara di sembilan daerah seluruh Selangor.

Kejayaan kali ini turut menandakan kembalinya Selangor ke takhta juara keseluruhan selepas kali terakhir meraih gelaran berkenaan pada SUKMA Sarawak 2016.

Pasukan Selangor meraikan kejayaan meraih pingat emas dalam acara kriket T20 lelaki pada saingan Sukan (SUKMA) 2026 di Kompleks Kriket Bayu Emas , Klang pada 24 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR
Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.