
SERDANG, 24 OGOS: Saingan silambam menjadi tumpuan pada hari terakhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila beberapa pasukan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadilan, khususnya dalam acara berirama tanpa senjata campuran.
Suasana di venue kelihatan tegang apabila beberapa wakil pasukan dilihat menyuarakan bantahan dari kawasan penonton ketika pertandingan berlangsung, termasuk jeritan yang dipercayai ditujukan kepada barisan juri.
Difahamkan, beberapa pasukan turut mengemukakan bantahan secara rasmi berhubung keputusan pertandingan.
Terdahulu pada sebelah pagi, final acara poruthal individu wanita 60 hingga 70 kilogram (kg) terpaksa diadakan semula selepas bantahan pasukan Sarawak terhadap keputusan pengadilan diterima pihak teknikal.

Final berkenaan pada asalnya dimenangi wakil Pulau Pinang, B Dharnisha dengan keputusan 33-31, namun kesilapan dalam penilaian mata dikenal pasti selepas bantahan dikemukakan.
Dalam aksi ulangan, wakil Sarawak, Nur Aleesya Zahierah Sali bangkit mencatat kemenangan 12-9, sekali gus menukar pingat perak kepada emas.
Insiden itu kemudian menjadi latar kepada bantahan yang berlaku dalam acara berirama tanpa senjata campuran apabila beberapa pasukan sekali lagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadilan.
Bagaimanapun, bantahan yang dikemukakan tidak boleh dianggap sebagai bukti keputusan juri tidak tepat atau berat sebelah kerana setiap penilaian tertakluk kepada proses semakan serta peraturan pertandingan.
Dalam sukan yang banyak bergantung kepada penilaian teknikal, ketepatan pengadilan dan mekanisme semakan penting bagi memastikan setiap bantahan dapat ditangani dengan jelas dan mengikut peraturan ditetapkan.








