
KUALA LANGAT, 28 OGOS: Sukan silambam bukan sekadar medan memburu pingat, malah mampu membentuk disiplin, ketahanan diri dan jati diri generasi muda.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata kejayaan atlet silambam pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 turut membuktikan potensi seni mempertahankan diri tradisional itu untuk terus diperkasa.
“Saya berasa amat gembira dan bangga melihat anak-anak dari daerah Kuala Langat berjaya meraih pingat emas serta pelbagai pencapaian cemerlang dalam acara silambam pada SUKMA kali ini
“Silambam bukan sekadar acara sukan, tetapi merupakan seni warisan dan budaya masyarakat India yang perlu terus dipelihara. Pada masa sama, sukan ini mampu membentuk disiplin, ketahanan diri dan jati diri dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan sembilan atlet serta barisan pengurusan silambam dari Kuala Langat yang mencatat pencapaian membanggakan mewakili Selangor dan Wilayah Persekutuan pada SUKMA 2026.
Menurut Papparaidu, usaha memperkasakan silambam akan terus diberi perhatian, termasuk mengusahakan peruntukan bersesuaian bagi menyokong pembangunan dan kelangsungan sukan berkenaan.
Antara atlet yang mencipta kejayaan ialah Sasmita Ravi yang meraih dua pingat emas dalam kategori kutu varisai dan acara berirama tanpa senjata campuran berpasukan.

Sharvien Rajh Selvam pula meraih emas bagi acara berirama tanpa senjata campuran berpasukan manakala Kiran Jenifer Danchill menyumbang satu pingat perak dan satu gangsa dalam acara berirama bersenjata campuran berpasukan dan thanithiramai stick.
Sementara itu, jurulatih silambam, Chandran Paramasivam berkata kejayaan atlet merupakan hasil persiapan serta latihan intensif selama lebih setahun bagi menghadapi temasya dwitahunan berkenaan.
“Para atlet menjalani latihan secara konsisten, siang dan malam tanpa mengira masa sebagai persediaan menghadapi kejohanan. Usaha dan pengorbanan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya meraih pingat emas,” katanya.
Menurut Chandran, pencapaian itu turut didorong bimbingan serta sokongan barisan jurulatih Selangor sepanjang tempoh persiapan.
"Saya berharap silambam terus diberi lebih banyak peluang untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi, termasuk dipertandingkan dalam temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Komanwel," katanya.






