
KLANG, 24 OGOS: Pasukan kriket Selangor cemerlang merangkul pingat emas kriket T20 lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Kompleks Kriket Bayu Emas, Klang, hari ini.
Pada aksi final itu, Selangor mengesahkan kemenangan dengan kelebihan 6 wicket pada over ke-16 dan mencatat 78 larian, berbanding Wilayah Persekutuan yang sekadar membuat 76 larian pada pusingan pertama.
Jurulatih Kriket Selangor, Roshan Senna Singh sangat berpuas hati dengan aksi anak buahnya selepas mempamerkan penguasaan sejak mula.
"Kami menguasai sepenuhnya perlawanan ini. Tetapi, titik kebangkitan kami bermula pada peringkat kumpulan menentang Johor apabila kami berjaya mempertahankan 75 larian.
"Selepas perlawanan itu, momentum pasukan terus meningkat dengan kualiti pemain-pemain kami sangat tinggi dan kita bermain dengan penuh keyakinan dan mendominasi perlawanan dengan baik," katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut menganggap pasukan ini adalah yang terbaik pernah mewakili negeri selepas kejayaan meraih dua pingat emas berturut-turut
"Ini adalah pasukan pertama dalam sejarah kriket SUKMA yang memenangi dua pingat emas berturut-turut. Bagi saya, ini adalah pasukan terbaik yang pernah saya saksikan, jadi saya ucapkan terima kasih kepada mereka," katanya lagi.
Terdahulu, pasukan kriket Selangor meraih emas dalam acara T50 lelaki selepas menewaskan Johor.
Sementara itu, kapten pasukan, Muhammad Ashraf Azmi berkata, beliau berasa sangat bangga selepas menyumbang dua pingat emas untuk Selangor.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira hari ini. Ini adalah rezeki kami semua setelah setahun lebih berlatih dan bekerja keras, jadi, ini rezeki kami, dua emas," katanya.
Beliau turut berharap agar pemain seterusnya yang akan mewakili Selangor pada edisi SUKMA akan datang di Kelantan dapat mempertahankan emas yang dimenangi mereka.
"Ini SUKMA terakhir saya, dan saya rasa kami dah buat yang terbaik, untuk pemain-pemain akan datang saya harap mereka dapat mempertahankan pingat emas ini," katanya lagi.











