
SHAH ALAM, 25 OGOS: Walau perlu berulang alik dari Sungai Buloh ke Kuala Lumpur dan Shah Alam setiap hari demi tugasnya sebagai sukarelawan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Siti Nabilah Mohd Ridzuan tidak menganggap kepenatan sebagai penghalang untuk menimba pengalaman baharu.
Pegawai eksekutif berusia 27 tahun yang bekerja di Kuala Lumpur itu berkata, ini merupakan kali pertama dia menyertai menjadi sukarelawan dan berkhidmat dalam Jawatankuasa Media, Komunikasi, Digital dan Penyiaran SUKMA 2026 yang membuka ruang untuknya mencuba bidang baharu.
“Ini pertama kali saya menjadi sukarelawan dan setiap hari ulang-alik dari Sungai Buloh ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan kemudian ke Shah Alam sebagai sukarelawan.
“Memang rasa penat, tetapi berbaloi sebab ini pertama kali saya menjadi sukarelawan dan saya dapat pengalaman baharu,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.
Menurutnya, pengalaman paling tidak disangka sepanjang bertugas ialah apabila diberi peluang melakukan rakaman suara bagi berita yang diterbitkan menerusi media rasmi SUKMA 2026.
“Sebenarnya saya tak tahu pun yang saya boleh buat rakam suara untuk berita, saya baru tahu ada bakat terpendam yang saya sendiri tak pernah sedar.
“Encik Karami (pengarang SUKMA 2026) dan rakan-rakan yang lain yang bantu dan jumpa bakat itu, jadi saya memang teruja sebab dapat peluang buat rakaman suara berita,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Nabilah berkata, jadual bertugas yang fleksibel membolehkannya menyeimbangkan komitmen sebagai sukarelawan dengan pekerjaan hakiki apabila bertugas pada sebelah petang hingga malam.
Katanya, pengalaman sepanjang SUKMA 2026 bukan sahaja memberi peluang untuk menyumbang tenaga, malah membuka keyakinan untuk menjumpai kemahiran baharu yang boleh dikembangkan untuk masa akan datang.
Sekitar 10,000 orang sukarelawan bertugas sepanjang SUKMA dan Para Sukma 2026 di Selangor. SUKMA menamatkan temasya semalam, manakala Para Sukma akan mula berlangsung pada 5 hingga 10 September depan.







