
SHAH ALAM, 19 OGOS: Skuad renang Selangor menguasai acara 400 meter rampaian individu lelaki dan wanita apabila meraih dua pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.
Shannon Tan Yang-Qing muncul juara acara 400 meter rampaian individu wanita selepas mencatat masa 4 minit 48.50 saat.
Rakan sepasukannya, Yoong Jia Jia melengkapkan kejayaan Selangor dengan meraih pingat gangsa menerusi catatan masa 5 minit 10.13 saat.
Dalam acara 400 meter rampaian individu lelaki, Goh Li Hen turut muncul juara selepas mencatat masa 4 minit 35.40 saat untuk menghadiahkan satu lagi pingat emas buat kontinjen negeri.

Terdahulu, Eliza Ai Shen Tan menjuarai acara 200 meter gaya bebas wanita dengan catatan masa 2 minit 5.26 saat, sekali gus menambah koleksi emas Selangor.
Sementara itu, Goh Li Jie membawa pulang pingat gangsa dalam acara 200 meter gaya bebas lelaki selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 1 minit 52.67 saat.
Cayden Gooi pula menyumbang pingat perak dalam acara 100 meter gaya kuak dada lelaki selepas mencatat masa 1 minit 4.16 saat.
Beliau hanya dipisahkan 0.14 saat daripada pemenang pingat emas dari Wilayah Persekutuan, Cham Yu Xiang, yang merekodkan masa 1 minit 4.02 saat.

Selangor turut menguasai dua daripada tiga kedudukan podium dalam acara 50 meter gaya lentang lelaki.
Danial Scott Williams muncul juara selepas mencatat masa 26.81 saat, manakala Oswald Lim melengkapkan podium Selangor dengan pingat gangsa menerusi catatan 27.21 saat.
Kejayaan itu menyaksikan skuad renang Selangor menambah empat pingat emas, satu pingat perak dan tiga pingat gangsa menerusi beberapa acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Selangor petang tadi.







