SUKMA 2026 jadi kenangan bermakna sukarelawan UiTM

24 Ogos 2026, 10:00 AM
SUKMA 2026 jadi kenangan bermakna sukarelawan UiTM
SUKMA 2026 jadi kenangan bermakna sukarelawan UiTM

SERDANG, 24 OGOS: Rasa sedih mula menyelubungi hati Norhanis Naqibah Mohd Nor apabila Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 bakal melabuhkan tirai malam ini selepas beberapa hari menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan.

Bagi pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam itu, peluang berada dalam suasana temasya sukan terbesar negara bukan sekadar menjalankan tugasan, malah meninggalkan pengalaman dan kenangan yang sukar dilupakan.

Norhanis, 21, berkata sepanjang bersama atlet, pegawai, petugas dan sukarelawan lain, dia memperoleh pelbagai pengalaman baharu yang diyakini berguna sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

“Sedih juga apabila SUKMA nak berakhir sebab sepanjang berada di sini, banyak pengalaman yang saya dapat.

“Pada awalnya saya datang sebagai sukarelawan untuk membantu, tetapi akhirnya saya sendiri yang mendapat banyak pengalaman dan kenangan sangat bermakna,” katanya ketika ditemui di Stadium MBSJ di sini, hari ini.

Pasukan sorak kontinjen Selangor menyemarakkan suasana ketika aksi bola tampar pantai pada hari pertama acara awal Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Gelanggang Bola Tampar Pantai MBSA, Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Kira-kira 150 sukarelawan turut bertugas membantu kelancaran penganjuran temasya.Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Lebih membanggakan, Norhanis merupakan pelajar cemerlang yang memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester sejak mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan.

Menurutnya, pengalaman sebagai sukarelawan memberi peluang untuk mempelajari perkara yang tidak semestinya diperoleh di bilik kuliah, khususnya dalam aspek komunikasi, pengurusan masa, disiplin dan kerja berpasukan.

“Bila berada di sini, kita perlu berkomunikasi dengan ramai orang dan bekerjasama dengan pasukan. Saya rasa kemahiran seperti ini sangat penting untuk persediaan sebelum masuk alam pekerjaan nanti.

“Walaupun saya belajar Perakaunan, pengalaman seperti ini mengajar saya untuk lebih yakin berhadapan dengan orang ramai,” kata anak jati Bagan Datuk, Perak itu.

Norhanis berkata pengalaman sepanjang SUKMA turut mengajarnya supaya lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan setiap tugasan diberikan.

Beliau berharap peluang menjadi sukarelawan temasya berkenaan akan menjadi antara kenangan terindah sepanjang tempoh pengajiannya.

“Kalau diberi peluang, saya memang mahu sertai lagi program seperti ini. Banyak benda yang kita belajar dan paling penting, kita dapat rasa sendiri bagaimana sebuah temasya besar diuruskan,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.