Sanggup ambil cuti lima hari demi jadi sukarelawan SUKMA 2026

23 Ogos 2026, 1:00 AM
Sanggup ambil cuti lima hari demi jadi sukarelawan SUKMA 2026
Sanggup ambil cuti lima hari demi jadi sukarelawan SUKMA 2026

SHAH ALAM, 23 OGOS: Demi memastikan kelancaran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, seorang penjawat awam sanggup mengambil cuti tanpa rekod selama lima hari untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di temasya sukan terbesar negara itu.

Zadilhayat Mohammed, 43, yang bertugas sebagai pegawai di sebuah hospital kerajaan, memilih menyertai pasukan teknikal acara tenpin boling di Sunway Mega Lanes sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran temasya itu.

Beliau berkata, penglibatan sebagai sukarelawan bukan sekadar membantu melancarkan perjalanan temasya, malah memberi peluang untuk mencurahkan tenaga dan berbakti kepada kerajaan.

“Bila saya ambil cuti dan terlibat secara langsung dalam segmen kerja ini, ia menjadi satu inspirasi bagi saya untuk bersama-sama berkhidmat dan menunjukkan bakti serta tenaga kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Menurut Zadilhayat, pengalaman menyertai temasya dwitahunan itu turut membuka peluang untuk berkenalan dan bekerjasama dengan individu daripada pelbagai latar belakang.

Sebahagian sukarelawan menghadiri Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Litar Antarabangsa Sepang pada 9 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Menjadi sukarelawan ini penting apabila kita dapat mengenali rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang.

“Saya sarankan kepada anak-anak muda, tidak kira pelbagai usia, kita sepatutnya berkhidmat untuk menunjukkan bakti dan mencurahkan tenaga,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman sebagai sukarelawan memberinya perspektif baharu mengenai kepentingan semangat kerja berpasukan dalam memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan baik.

Zadilhayat merupakan antara kira-kira 10,000 sukarelawan yang bertugas sepanjang penganjuran SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026, merangkumi pelbagai bidang termasuk teknikal, logistik serta pengurusan pertandingan.

SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dijadual berlangsung dari 5 hingga 14 September depan.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.