Pekan lama Rawang bakal berwajah baharu, rejuvenasi dijangka bermula tahun depan

25 Ogos 2026, 10:00 AM
Pekan lama Rawang bakal berwajah baharu, rejuvenasi dijangka bermula tahun depan
Pekan lama Rawang bakal berwajah baharu, rejuvenasi dijangka bermula tahun depan
Pekan lama Rawang bakal berwajah baharu, rejuvenasi dijangka bermula tahun depan

SELAYANG, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjangka usaha membangunkan semula pekan lama Rawang dapat dimulakan tahun depan secara berfasa selepas kajian dan reka bentuk rejuvenasi kawasan itu disiapkan.

Yang Dipertuanya Shahman Jalaludin berkata antara yang diberi tumpuan termasuk penyusunan semula aliran trafik, pengindahan semula bangunan lama, penyediaan taman rekreasi (pocket park) serta penambahbaikan landskap.

Menurutnya, pihaknya kini dalam proses libat urus termasuk mendapatkan pelbagai pandangan daripada penduduk dan peniaga sebelum melantik perunding yang akan mereka bentuk pelan pembangunan semula kawasan berkenaan, merangkumi langkah segera, jangka pendek dan jangka panjang.

“Pekan lama Rawang satu pekan lama. Baru-baru ni kita buat libat urus sesi bersama dengan penduduk dan peniaga kawasan pekan lama Rawang. Ini antara prosesnya.

“Semua maklumat dan pandangan yang dikumpulkan akan dijadikan asas sebelum MPS melantik perunding, yang dijangka dilaksanakan pada Oktober.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shahman Jalaludin (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis MPS di Bangunan MPS, Selayang pada 24 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Selepas kita dapat semua maklumat tersebut, kita akan lantik, kita akan jadikan maklumat tersebut sebagai asas dan perunding akan design rejuvenasi untuk bandar pekan lama Rawang itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPS Bil 8/2026 di sini semalam.

Beliau berkata tempoh pelaksanaan rejuvenasi itu bergantung kepada hasil kajian perunding kerana pembangunan semula itu dijangka mempunyai perancangan segera, jangka pendek dan jangka panjang.

“Dia bergantung pada hasil kajian perunding nanti tapi kita jangka hasil kajian ni kita akan terima dalam Disember ataupun Januari. Dia ada segera, jangka pendek dan jangka Panjang, mungkin ambil masa sampai lima tahun,” katanya.

Sebelum ini Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berkata pekan lama Rawang bakal melalui proses rejuvenasi bagi mewujudkan persekitaran lebih selesa dan teratur tanpa menghilangkan identiti serta nilai sejarah kawasan berusia lebih 100 tahun itu.

Katanya, MPS memperuntukkan RM200,000 bagi kajian dan reka bentuk menyeluruh Pelan Rejuvenasi Pekan Lama Rawang, berbanding RM100,000 sebelum ini.

Menurutnya, pelan itu antaranya mempertimbangkan penambahbaikan trafik dan tempat letak kereta, sistem saliran, laluan pejalan kaki, pemeliharaan identiti bangunan lama, ruang awam serta kawasan hijau.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.