Pemandu lori tangki maut dilibas kabel jentolak di kuari Hulu Langat

29 Nov 2026, 6:07 AM
Pemandu lori tangki maut dilibas kabel jentolak di kuari Hulu Langat

SHAH ALAM, 29 NOV: Seorang pemandu lori tangki maut selepas dilibas kabel dawai jentolak yang tercabut ketika kerja menarik lori di tapak kuari Hutan Simpan Sungai Lalang, 20 November lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor memaklumkan mangsa berusia 28 tahun sedang menghantar bekalan diesel ke kawasan kuari ketika kejadian kira-kira 10 pagi, lapor Berita Harian.

Menurut JKKP, lori dipandu mangsa tersangkut ketika mendaki laluan berbukit menuju ke lokasi penyimpanan diesel sebelum ditarik menggunakan kabel dawai jentolak.

“Bagaimanapun, kabel itu tercabut lalu melibas mangsa yang berada di hadapan lori,” menurut kenyataan itu hari ini.

Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Susulan kejadian, JKKP mengeluarkan notis larangan berikutan kegagalan syarikat menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti penghantaran diesel ke tangki simpanan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk mengambil keterangan daripada pihak majikan dan prinsipal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Seksyen 18A(1) dan Seksyen 18B(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.