SHAH ALAM, 23 OGOS: Isnin, 24 Ogos kekal sebagai hari bekerja di Selangor susulan tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai Cuti Umum Peristiwa dibuat setakat ini.
Dato’ Menteri Besar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan sebarang pengumuman rasmi berkaitan cuti berkenaan, sekiranya ada, hanya akan dibuat pada Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, jam 8 malam esok.
Dato’ Seri Amirudin Shari turut menegaskan poster yang sedang tersebar berhubung dakwaan cuti peristiwa adalah palsu dan tidak benar.
“Insya-Allah sebarang pengumuman rasmi berkenaan Cuti Umum Peristiwa, sekiranya ada, hanya akan dibuat pada Majlis Penutup Kejohanan SUKMA 2026 pada 24 Ogos, Isnin, jam 8 malam.
“Oleh itu, sila ambil maklum bahawa poster yang telah tersebar ini adalah palsu dan tidak benar sama sekali,” katanya.
Sehubungan itu, urusan kerja di Selangor pada Isnin berjalan seperti biasa sehingga terdapat sebarang pengumuman rasmi.
Terdahulu, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi dilaporkan berkata Selangor akan mempertimbangkan untuk memberikan cuti peristiwa jika kontinjen SUKMA negeri berjaya meraih gelaran juara keseluruhan pada temasya itu.
Beliau berkata perkara itu hanya akan diumumkan selepas kiraan pingat dimuktamadkan dengan kontinjen Selangor menunjukkan peluang cerah untuk menamatkan temasya dengan cemerlang.







