
SHAH ALAM, 23 OGOS: Baru lapan bulan menyertai skuad terjun, Ayu Syuhaida Khairul, 14, sudah membuktikan kemampuannya apabila meraih satu emas dan dua gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Bekas atlet gimnastik artistik Selangor itu memilih beralih ke sukan terjun selepas melihat peluang lebih cerah untuk merealisasikan impiannya beraksi di pentas Sukan Olimpik.
Lebih mengagumkan, pingat emas diraih menerusi acara 3 meter papan anjal wanita, manakala dua gangsa diperoleh dalam acara 10 meter platform wanita seirama dan platform seirama campuran.
Bagi Ayu, keputusan meninggalkan gimnastik bukan dibuat tanpa sebab, sebaliknya menjadi langkah penting dalam mengejar impian lebih besar.
“Saya rasa peluang dalam terjun lebih cerah berbanding gimnastik, terutama untuk pergi ke Olimpik dan memenangi pingat,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Akuatik Selangor di sini, hari ini.

Walaupun masih muda, Ayu sudah menetapkan hala tuju untuk terus mengembangkan potensinya dalam sukan terjun dan membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
"Saya memang memasang impian nak wakil Malaysia. Dari kecil lagi saya dah ada cita-cita nak wakili Malaysia ke Sukan Olimpik.
"Alhamdulillah saya dapat emas dalam sukan terjun pada SUKMA kali ini. Saya dedikasi emas ini untuk jurulatih saya yang banyak membantu dan percaya kepada kemampuan saya," katanya.
Pencapaian tiga pingat pada penampilan kali ini menjadi permulaan positif buat Ayu dalam perjalanan baharunya itu.
Dengan latihan yang baru memasuki tempoh lapan bulan, kejayaan itu turut memperlihatkan potensi besar Ayu untuk terus berkembang dalam usahanya merealisasikan impian beraksi di Sukan Olimpik.







