
SHAH ALAM, 23 OGOS: Penerjun Selangor, Ayu Syuhaida Khairul, menyambar pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Beraksi pada hari terakhir saingan acara terjun di Pusat Akuatik Selangor, Ayu Syuhaida melakukan lima terjunan untuk mengumpul 237.20 mata, sekali gus mengungguli saingan bagi menghadiahkan emas buat kontinjen Selangor.
Pingat perak menjadi milik penerjun Sarawak, Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin, yang mengumpul 223.20 mata, manakala pingat gangsa dibawa pulang penerjun Wilayah Persekutuan, Lee Yiat Qing, dengan 216.10 mata.
Kejayaan itu menyaksikan Ayu Syuhaida meraih emas sulungnya pada temasya SUKMA kali ini, selepas sebelum ini memperoleh pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita bersama gandingannya, Uzlifatil Jannah Asyraf.
Ayu Syuhaida masih mempunyai satu lagi peluang untuk menambah koleksi pingat apabila bakal beraksi dalam acara 10 meter platform seirama campuran sebentar lagi.









