Pertarungan untuk pulih di sebalik terjunan emas SUKMA

17 Ogos 2026, 2:00 AM
Pertarungan untuk pulih di sebalik terjunan emas SUKMA
Pertarungan untuk pulih di sebalik terjunan emas SUKMA

Muhammad Syahmi Mohd Rezal resah merenung buku lalinya yang berdenyut kesakitan. Kecederaan itu berlaku saat hanya berbaki dua minggu sebelum obor Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 dinyalakan.

Beliau bertarung dengan masa untuk pulih. Situasi itu memaksanya mengambil suntikan dan menjalani proses pemulihan. Kecergasannya diragui, bimbang tidak mampu mempamer persembahan terbaik dalam penampilan terakhir temasya dwitahunan itu.

"Untuk seorang penerjun, buku lali adalah bahagian badan paling penting. Setiap lompatan bergantung kepadanya. Saya juga tidak tahu masihkan ada peluang untuk beraksi.

"Jurulatih beritahu saya jika mampu tahan sakit, teruskan (beraksi). Jika tidak, saya perlu tarik diri. Keputusan pada saya," katanya kepada Media Selangor ketika mengimbau liku mewakili Selangor lapan tahun lalu.

Keputusan akhir ada di tangannya. Sama ada melawan derita kesakitan atau menyerah pasrah. Pada usia 17 tahun, dengan semangat membara, Muhammad Syahmi memilih untuk tidak menarik diri.

Berkat keazaman bukan kepalang, beliau akhirnya melakar kejayaan yang diidaminya. Pingat emas yang dinanti-nantikannya dikalung ke leher apabila meraih 313.68 mata untuk muncul juara.

Kejayaan acara 10 meter platform berirama lelaki itu diraih bersama adiknya, Muhammad Haris Mohd Rezal yang empat tahun lebih muda. Meski pertama kali bergandingan, Muhammad Syahmi berhasil menebus kekecewaan dalam dua edisi sebelumnya.

Beliau yang mencipta nama sejak usia remaja terpaksa berdepan kegagalan dalam dua SUKMA. Akhirnya, kegigihannya berlatih kira-kira empat jam sehari termasuk hujung minggu, akhirnya membuah hasil.

"Tidak jangka menang emas. Memang ia antara sasaran saya tapi kerana kecederaan, saya kurang yakin. Alhamdulillah saya mampu menang," katanya yang turut menambah dua lagi koleksi emas dalam temasya sama.

Gandingannya bersama Muhammad Haris bermula selepas rakannya cedera menjelang pertandingan. Mujur, keserasian yang wujud sejak kecil memudahkan lagi perjalanan mereka menempa kejayaan.

Bagi beliau, kejayaan tersebut jauh lebih bermakna daripada sekadar berdiri di podium. Detik itu lambang ketabahan hampir sedekad dan usaha bermula jauh sebelum namanya mula dikenali.

Pencarian bakat

Mengimbau penglibatannya, beliau yang kini berusia 25 tahun menjelaskan segala-galanya bermula dari sekolah rendah apabila jurulatih datang ke sekolahnya untuk ujian pencarian bakat.

"Saya tidak mengetahui apa itu sukan terjun. Ibu bapa saya juga tidak tahu, sekitar 50 kanak-kanak menyertai ujian pada hari itu. Saya satu-satunya yang masih kekal dalam sukan ini," katanya.

Pada peringkat awal, Muhammad Syahmi tidak menyangka berbakat dalam sukan akuatik meskipun jurulatih kebangsaan menyedari potensinya selepas menang tempat ketiga dalam satu kejohanan. Sejak itu, beliau berusaha dengan penuh kesungguhan.

Pada masa sama, beliau juga sentiasa merendah diri, nilai yang diterap bapanya Mohd Rezal Md Amin yang dianggap antara kunci kejayaan dalam perjalanan kariernya.

“Ayah selalu mengingatkan supaya jangan fikir kami sudah cukup hebat. Kami sentiasa dianggap sebagai pencabar, jadi kami hanya memberi yang terbaik.”

Dalam kesibukan berlatih, pelajaran tetap menjadi keutamaannya. Pesanan tegas ibu bapanya hanya satu: Jangan sesekali biarkan sukan mengorbankan pendidikan.

Rutin hariannya sebagai pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil diisi dengan sesi pembelajaran, latihan dan kelas tambahan. Ada kalanya semua tugasan dapat diselesaikan sebelum tidur, tidak kurang juga berlarutan hingga jam 5 pagi keesokannya.

Beliau mengakui pelajarannya pernah merosot. Namun, menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menyusun semula keutamaan dan memperbaiki pengurusan masa.

Justeru, Muhammad Syahmi mengingatkan atlet muda supaya memberi keutamaan kepada pendidikan. Pencapaian dalam sukan semata-mata belum tentu menjamin masa depan. Namun, nilai terbesar yang dipelajari melalui sukan ialah disiplin.

“Mendengar nasihat guru di sekolah, jurulatih ketika latihan dan ibu bapa di rumah, semua pengalaman itu membentuk bukan sahaja kerjaya saya sebagai atlet tetapi juga peribadi saya,” katanya.

Memori indah 2018 telah lama berlalu. Namun, kecintaannya terhadap sukan terjun kekal utuh. Jika dahulu memburu pingat, beliau kini menabur bakti dengan berkhidmat sebagai jurulatih sambilan pasukan terjun Selangor.

Sempena SUKMA 2026 dan Selangor selaku tuan rumah, Muhammad Syahmi menitip pesan buat atlet negeri: Manfaat segala peluang tanpa membiarkan tekanan menguasai diri.

Pernah berdiri di tepi kolam, dihimpit keraguan sama ada kecederaan mungkin meragut peluang terbesar dalam hidupnya, beliau berharap atlet sukan terjun memberi persembahan terbaik.

“Yakinlah dengan latihan yang telah dilakukan, dengar nasihat jurulatih dan elakkan kecederaan. Bersainglah dengan diri sendiri. Jadilah insan yang lebih baik daripada semalam,” katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.