SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Selangor disaran menyediakan rumah transit di setiap kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu keluarga yang berdepan masalah kehilangan tempat tinggal akibat tidak mampu membayar sewa.
Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr Gunaraj George berkata, cadangan itu selari dengan sasaran Kerajaan Negeri melalui Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi menyediakan 200,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat Selangor yang masih belum memiliki kediaman.
“Kemudahan berkenaan boleh disediakan sekitar lima hingga 10 unit bagi setiap PBT sebagai penyelesaian sementara kepada keluarga yang terpaksa keluar dari kediaman mereka.
“Setiap PBT perlu menyediakan rumah transit mungkin lima hingga 10 unit supaya kita boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk sekitar,” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Menurutnya lagi, konsep bandar berdaya huni atau liveable city yang ingin dibawa melalui RS-2 perlu diterjemahkan melalui kemudahan dan infrastruktur asas yang benar-benar dirasai rakyat, khususnya di kawasan bandar.
“Bandar yang berdaya huni bukan sekadar mempunyai pembangunan yang moden, tetapi mesti mempunyai jalan yang selamat, longkang yang berfungsi, taman yang terurus, kemudahan sukan, sekolah yang baik, perkhidmatan kesihatan serta ruang komuniti.
“Saya berharap kawasan Sentosa ini dapat terus diberikan perhatian dalam agenda tersebut khususnya dari segi infrastruktur asas dan kemudahan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Gunaraj turut membangkitkan isu banjir di kawasan Sentosa dan menyambut baik pengenalan pelan mitigasi banjir strategik menerusi RS-2.
Beliau berkata usaha menangani banjir di peringkat kawasan tidak seharusnya hanya bergantung kepada projek berskala besar, sebaliknya turut menitikberatkan penyelenggaraan infrastruktur saliran sedia ada.
“Kita juga perlu melihat longkang, parit, sungai, sistem pam dan penyelenggaraan berkala supaya semuanya berfungsi dengan baik apabila musim hujan,” katanya lagi.
Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku mampu milik menerusi Dasar Rumah Selangorku Harapan dan Idaman khusus untuk rakyat Selangor yang belum memiliki rumah.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu merupakan antara inisiatif di bawah Misi Ketiga: Negeri Penyayang dan Berdaya Huni dalam RS-2.
Katanya lagi, misi berkenaan menggariskan 25 inisiatif yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pemerkasaan keterjangkauan, kebolehdiaman dan kesejahteraan secara menyeluruh.







