SUKMA 2026: Final ping pong dapat sentuhan umpire berpengalaman 30 tahun

23 Ogos 2026, 6:27 AM
SUKMA 2026: Final ping pong dapat sentuhan umpire berpengalaman 30 tahun
SUKMA 2026: Final ping pong dapat sentuhan umpire berpengalaman 30 tahun

SHAH ALAM, 23 OGOS: Pengalaman tiga dekad dalam dunia pengadilan menjadi nilai tambah pada aksi final ping pong Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila Wang Luan Foong dipertanggungjawabkan mengadili perlawanan berkenaan.

Luan Foong yang bakal berusia 70 tahun pada September ini mempunyai pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk Sukan Olimpik Paris 2024, Sukan Paralimpik Beijing 2008, Sukan Komanwel 2010 di New Delhi dan 2014 di Glasgow serta Sukan Asia 2018 di Palembang.

Beliau yang bertugas sebagai umpire bagi aksi final beregu lelaki berkata pengalaman luas membantunya membuat keputusan dengan lebih tepat, selain dapat menjadi panduan kepada pengadil muda.

“Untuk menjadi umpire yang bagus, kita perlu mempunyai fokus serta mata yang tajam kerana keputusan kita memberikan mata buat pemain.

“Saya sebagai bekas atlet dan ahli farmasi sentiasa menjaga kesihatan dengan kekal aktif setiap hari,” katanya kepada Media Selangor.

Wang Luan Foong, umpire berpengalaman lebih 30 tahun yang mengadili aksi final beregu lelaki ping pong SUKMA Selangor 2026. Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, perkembangan sukan ping pong yang semakin pantas menuntut tahap fokus tinggi serta kerjasama baik antara barisan pengadil ketika mengendalikan perlawanan.

“Sukan ping pong sudah berkembang dengan pesat terutama dari segi kelajuan permainan, oleh itu fokus sangat penting selain kerjasama dengan umpire yang lain,” katanya.

Luan Foong yang berasal dari Kelantan pernah aktif dalam ping pong dan bola jaring ketika zaman mudanya sebelum menceburi bidang pengadilan sehingga berjaya menembusi pentas antarabangsa.

Menariknya, selepas menamatkan tugas di SUKMA 2026, beliau bakal meneruskan khidmat di peringkat antarabangsa apabila dipilih mewakili Malaysia sebagai pengadil ping pong pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya.

“Selepas selesai SUKMA, saya akan ke Nagoya untuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pula. Saya dipilih sebagai wakil dari Malaysia untuk mengadili acara ping pong dan ia menjadi detik terbaik buat diri saya,” katanya.

Lee Yong Yi dan Tey Hong Yu ketika beraksi dalam final beregu lelaki ping pong yang diadili Wang Luan Foong pada SUKMA 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pengalaman luas beliau turut mendapat penghormatan rakan-rakan pengadil yang menggelarnya sebagai ‘pioneer’ dalam bidang pengadilan ping pong di Malaysia.

Kehadirannya pada final SUKMA 2026 bukan sahaja membantu memastikan pertandingan dikendalikan mengikut piawaian ditetapkan, malah memberi peluang kepada pengadil muda menimba pengalaman daripada individu yang sudah 30 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.