SHAH ALAM, 23 OGOS: Taktik sindiket menjadikan sebuah bengkel di Kampung Sungai Rambai, Jenjarom, Kuala Langat sebagai stor penyimpanan rokok seludup terbongkar menerusi serbuan Op Taring Alpha 1, kelmarin.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 (Bn 4) Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Amarjit Singh berkata, pihaknya menemukan dan merampas 805 karton rokok seludup pelbagai jenama dalam serbuan itu.
Menurutnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM304,893.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan bengkel kenderaan sebagai lokasi penyimpanan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Amarjit berkata, sindiket kemudian membuat penghantaran rokok kepada pembeli yang terdiri daripada peniaga kedai runcit bermula sekitar jam 8 pagi sehingga selesai.
“Bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, sindiket menggunakan khidmat syarikat kurier sebagai penghantar kepada kedai runcit milik warga asing sekitar Jenjarom,” katanya.
Beliau berkata, serbuan bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Kuala Langat itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang disyaki sebagai penjaga stor.
Pasukan serbuan turut menemukan dan merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
Menurut Amarjit, siasatan awal mendapati sindiket terbabit sudah aktif sejak kira-kira empat bulan lalu, manakala suspek yang ditahan disyaki turut mengatur penghantaran kepada pembeli yang disenaraikan majikannya.
“Berdasarkan rekod, rangkaian sindiket sama pernah ditangkap oleh Bn 4 PGA pada bulan Mac lalu di Bukit Raja, Klang.
"Keseluruhan rampasan bernilai RM304,893 dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya sambil menyeru masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa.








