Lelaki sorok 175kg ketum, 400 botol ubat batuk dalam semak dicekup

20 Nov 2026, 7:47 AM
Lelaki sorok 175kg ketum, 400 botol ubat batuk dalam semak dicekup

SHAH ALAM, 20 NOV: Tindakan seorang lelaki menyembunyikan 175 kilogram (kg) daun ketum dan 400 botol ubat batuk dalam semak di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah, terbongkar selepas dia ditahan polis, malam tadi.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, kira-kira jam 7.30 malam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata operasi bermula dengan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pondok Baru, Padang Siam, namun pemeriksaan tidak menemukan sebarang barang salah.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek kemudian membawa polis ke kawasan semak di Kampung Chat Rimau sebelum pemeriksaan menemukan 700 bungkusan daun ketum seberat 175kg dan 400 botol ubat batuk yang dianggarkan berjumlah 40 liter.

"Turut dirampas sebuah alat penimbang, sekeping kanvas berwarna biru oren dan sebuah telefon bimbit, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM33,000," katanya, lapor BH Online.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan daun ketum daripada rakannya sejak 2024 ketika bekerja sebagai buruh binaan di Kampung Padang Siam.

Katanya, daun ketum dan ubat batuk itu dipercayai dijual secara pukal pada harga RM400 bagi setiap 10kg daun ketum, manakala ubat batuk dijual RM10 sebotol.

"Suspek dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Tanah Merah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.