SHAH ALAM, 25 DIS: Lelaki warga emas berusia 60-an ditahan dalam operasi penguatkuasaan Op Taring Alpha 1 susulan kegiatan pengedaran rokok haram di sebuah rumah teres di Klang, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Amanjit Singh berkata operasi dijalankan oleh anggota cawangan perisikan PGA Semenyih bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada jam 2.30 petang.
Menurutnya, pihak berkuasa turut merampas 750 karton rokok putih yang dipercayai tidak memiliki cukai kastam serta sebuah kenderaan jenis Nissan Almera disyaki digunakan bagi tujuan pengedaran. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM320,000.
“Suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 167. Lelaki berkenaan adalah pekerja dan rokok berkenaan diedarkan di Lembah Klang serta sekitar Selangor,” katanya.
Amanjit berkata modus operandi kegiatan itu adalah dengan menjadikan rumah kediaman sebagai stor sementara sebelum rokok diedarkan menggunakan kenderaan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui aktiviti yang menyalahi undang-undang.


