Dasar Wanita Selangor 2027-2031 bakal dilancar, perkasa pembangunan menyeluruh

10 Ogos 2026, 4:00 AM
Dasar Wanita Selangor 2027-2031 bakal dilancar, perkasa pembangunan menyeluruh
Dasar Wanita Selangor 2027-2031 bakal dilancar, perkasa pembangunan menyeluruh

SHAH ALAM, 10 OGOS: Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2027-2031 akan dilaksanakan bagi meneruskan agenda pemerkasaan dan pembangunan wanita secara menyeluruh, inklusif serta responsif gender.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata pelan itu akan disediakan berteraskan tiga strategi utama merangkumi penilaian terhadap dasar semasa, pendekatan berasaskan bukti dan libat urus serta pengukuhan intervensi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan wanita.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan menilai pencapaian setiap matlamat dan indikator prestasi, keberkesanan program, impak terhadap kumpulan sasaran serta kekangan sepanjang tempoh pelaksanaan dasar semasa.

“Penilaian ini penting bagi mengenal pasti inisiatif yang wajar diteruskan, diperluas atau ditambah baik serta program yang perlu disusun semula agar lebih berkesan.

“Analisis data semasa akan digunakan termasuk data berpecah mengikut jantina, hasil kajian terdahulu serta dapatan pemantauan program sebagai asas kepada pembentukan dasar.

“Sesi libat urus juga akan dilaksanakan bersama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, akademia, pertubuhan masyarakat sivil, sektor swasta dan komuniti wanita,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, pada 3 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Pua Pei Ling, Anfaal berkata dapatan daripada Roundtable Discussion Gender Outlook 2026 turut dijadikan input utama supaya pelan baharu mengambil kira perubahan keperluan, cabaran dan aspirasi wanita.

“Pada masa sama, pelaksanaan Pengarusperdanaan Gender dan Belanjawan Responsif Gender akan diperluas supaya perspektif gender diterapkan dengan lebih menyeluruh dalam perancangan dasar, penyediaan belanjawan dan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri,” katanya.

Berhubung Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026, Anfaal berkata sebahagian besar indikator prestasi menunjukkan kemajuan positif dan berada pada landasan ditetapkan.

“Beberapa indikator telah mencapai sasaran lebih awal, manakala beberapa lagi masih dalam pelaksanaan dan dijangka dapat disempurnakan menjelang akhir tahun ini.

“Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor sentiasa melaksanakan pemantauan bersama agensi pelaksana bagi memastikan setiap inisiatif dilaksana mengikut sasaran serta mengambil tindakan penambahbaikan,” katanya.

Pada Mei 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 bertemakan ‘Wanita Maju, Selangor Makmur’.

Dasar dan pelan berkenaan merangkumi lima titik tumpuan dan tujuh matlamat yang menyentuh pelbagai aspek pembangunan wanita serta isu berkaitan golongan itu.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.